4 sekeluarga maut, nahas 4 kenderaan

Kemalangan meragut nyawa empat sekeluarga di Kilometer 70.4, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berdekatan laluan keluar Tol Machap, dekat Simpang Renggam, pagi tadi. Gambar kredit Bomba


JOHOR BAHRU-- Empat sekeluarga maut, seorang cedera manakala dua yang lain selamat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 70.4, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berdekatan laluan keluar Tol Machap, dekat Simpang Renggam, pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata kejadian pada kira-kira pukul 7 pagi itu melibatkan kereta Perodua Myvi, van jenis Toyota Hiace, lori trailer jenis Volvo dan kereta Toyota Corolla, yang dipercayai dari arah yang sama iaitu dari arah Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru.


Beliau berkata mereka yang maut terdiri daripada pemandu kereta Toyota Altis, Goh Tiong Seng berusia 50-an; penumpang hadapan, Hong May Yin (50an) dan dua anak mereka Goh Pei Chiew serta Goh Xuan Ting, keduanya berusia 20-an.


"Kereta Perodua Myvi dipercayai terlanggar lopak air dan hilang kawalan lalu berpusing dan terbabas ke tengah jalan sebelum melanggar besi pembahagi jalan di tengah jalan. Ketika itu, sebuah van dari arah belakang cuba mengelak kereta Myvi, lalu terbabas dan berpusing sehingga melanggar besi pembahagi jalan dan terus ke bahu kiri jalan. 


"Sebuah lori trailer dari arah belakang di lorong kiri bertindak memperlahankan lorinya untuk mengelak melanggar van yang berada di bahu lorong kiri itu, bagaimanapun, kereta Toyota Altis terlanggar belakang lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Bahrin berkata Goh serta dua anaknya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Hong meninggal dunia di Hospital Kluang ketika mendapatkan rawatan.


Bagaimanapun pemandu perodua Myvi dan pemandu lori trailer tidak mengalami kecederaan manakala pemandu van Hiace yang cedera di bawa ke Hospital Kluang untuk rawatan lanjut.


"Kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital  Kluang untuk bedah siasat,” kata beliau, dan menambah Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post