12,092 kes jenayah siber direkod sejak Januari hingga Julai, kerugian RM414.8 juta

Gambar hiasan kredit unsplash

KUALA LUMPUR—Sebanyak 12,092 kes jenayah kewangan penipuan dalam talian dengan nilai kerugian RM414.8 juta dilaporkan sejak Januari hingga Julai tahun ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani hari ini.


Beliau yang menyertai pameran secara maya, Jenayah Kewangan: Semak Sebelum Diperdaya anjuran Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia berkata dalam tempoh 2019 hingga Julai 2022, sebanyak 33,147 suspek kes penipuan jenayah siber telah ditangkap dengan 22,196 kes berjaya dituduh di mahkamah.



“Kelicikan penjenayah siber mengeksploit perubahan teknologi dan kreatif dalam menjerat mangsa dengan pelbagai modus operandi yang baharu selain kesedaran masyarakat mengenai jenayah itu yang berada pada tahap sederhana, dikenal pasti antara punca peningkatan kes jenayah tersebut,” katanya.


Pameran secara maya menerusi pautan https://museum.bnm.gov.my/ itu bertujuan untuk memberikan panduan dan maklumat untuk mencegah orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan kewangan dalam talian.


Turut sama menyertai pameran secara maya itu ialah Gabenor Bank Negara Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.


Acryl Sani mendedahkan jenayah melibatkan penipuan dalam talian yang dikendalikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman menggariskan tujuh bentuk jenayah utama iaitu belian secara dalam talian, pinjaman tidak wujud, pelaburan dalam talian, Macau Scam, African Scam, Business Email Compromised dan penipuan SMS.


“Lantaran itu, Polis Diraja Malaysia melihat wujudnya keperluan untuk menyebar luas seberapa banyak ilmu kepada masyarakat agar mereka dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kepada aktiviti jenayah tersebut,” katanya.


Acryl Sani berkata tiada statistik di seluruh dunia yang mencatatkan penurunan dalam kes jenayah siber membabitkan penipuan dalam talian dan Malaysia tidak terkecuali apabila trend jenayah itu menunjukkan peningkatan.


“Sebanyak 13,703 kes dengan nilai kerugian RM539 juta dilaporkan pada 2019 dan jumlah itu terus meningkat kepada 17,227 kes pada 2020 dengan nilai kerugian mencecah RM511.2 juta serta 20,701 kes pada 2021 dengan kerugian RM560.8 juta,” katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post