Syarikat penerbangan, Sarawak sewa kapalterbang tidak beli
SIBURAN— Penubuhan syarikat penerbangan butik Sarawak ketika ini masih di peringkat perancangan dan belum dapat dilancarkan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Penerbangan dan Jalan Raya), Datuk Dr Jerip Susil berkata penerbangan butik itu akan bermula dengan menyediakan penerbangan sewa dari luar negara terus ke Kuching.
"Sekarang ini kita sedang merancang dari segi syarikat yang terlibat (menjalankan operasinya) dan kedua, (jenis) dari segi pesawat dan sebagainya. Kalau itu sudah sedia baharu kita dapat melancarkannya," katanya selepas merasmikan Majlis Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Daerah Siburan di Dewan Siburan, di sini, hari ini.
Dr Jerip berkata, kementerian sedang mempertimbang menggunakan Hornbill Skyways sebagai platform yang sudah tersedia bagi menubuhkan syarikat penerbangan itu.
"Kita tidak akan membeli sebarang pesawat, kita akan menyewanya dari pelbagai penyedia pesawat dan itu model yang akan kita ada dan masih diperingkat perancangan," katanya.
Katanya Sarawak perlu syarikat penerbangan itu kerana mahu melihat pertambahan ketibaan pelancong dari luar negeri di samping bersedia memenuhi permintaan tinggi penerbangan berikutan perpindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara di kepulauan Borneo.
Dr Jerip berkata demikian mengulas perkembangan terkini penerbangan butik yang diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari sebelum pilihan raya negeri yang lalu.
Premier Sarawak mendedahkan peringkat perbincangan lanjutan mengenainya sedang diadakan termasuk dengan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Mac lalu.