Lagi serpihan roket China ditemui, tiada radioaktif

Objek dipercayai serpihan roket Long March 5B ditemukan di sebuah kebun kelapa sawit Semawa Baru, Pantu. Gambar Bomba

SRI AMAN—Lagi objek logam dipercayai serpihan roket China dijumpai di Sarawak iaitu di kawasan ladang sawit di Semawa Pantu di sini.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman  menerima panggilan berhubung penemuan objek itu sekitar 11.56 pagi semalam dan mengerahkan pasukan ke lokasi.


Gambar Bomba


"Setiba pihak bomba di lokasi kejadian bersama dengan pihak polis Pantu mendapati terdapat serpihan logam roket negara China ditemui oleh orang awam.


"Serpihan logam tersebut berwarna perak berukuran panjang lebih kurang 2.3 meter dan lebar lebih kurang 1 meter dengan ketebalan logam tersebut dianggarkan 5mm dan fizikal logam tersebut kelihatan kesan pecah," katanya dalam kenyataan.


Jelasnya, anggaran berat serpihan logam tersebut tidak dapat ditentukan mengambil kira risiko bahaya untuk menyentuh objek tersebut.


Tambahnya, bomba bersama dengan polis hanya membuat peninjauan dan juga pemantauan di kawasan serpihan logam tersebut sementara menunggu ketibaan pihak Jabatan Kimia dan ATOM dari Kuching.


"Pihak Jabatan Kimia dan ATOM yang di lokasi, operasi pengesanan radioaktif pada serpihan logam roket tersebut dijalankan bersama dengan bomba dengan menggunakan pakaian khas.


"Setelah pengesanan radioaktif selesai dijalankan dan dikenal pasti bahawa tiada kesan bahan radioaktif dikesan," dedahnya.


Katanya lagi objek tersebut kemudian diserahkan kepada pihak Jabatan Kimia dan pihak polis untuk tindakan seterusnya.

Next Post Previous Post