Serpihan dipercayai sisa roket Long March 5B diserahkan kepada MYSA
Pasukan bomba sedang mengeluarkan objek menyerupai tanduk rusa dipercayai serpihan roket Long March 5B. Gambar kredit Bomba |
MIRI— Objek menyerupai tanduk rusa seberat 16 kilogram dipercayai serpihan roket Long March 5B milik China yang ditemui di kebun rumah panjang Tuai Rumah Ngadan Muyang, Sungai Kurong Niah berjaya dikeluarkan pagi tadi.
Pemangku Bomba Zon 6 Ahmad Nizam Sapaiee berkata, serpihan itu dikeluarkan oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah bermula sekitar 10.56 pagi.
“Pasukan mengambil masa kira-kira 7 minit untuk mengeluarkan serpihan yang tertanam pada ketinggian satu kaki dari tanah.
Turut kelihatan berada di lokai beberapa pegawai dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan pihak polis,” katanya.
Objek tersebut kemudian ditimbang dan diserahkan kepada pihak MYSA untuk tindakan selanjutnya.
Penemuan ini merupakan insiden kedua berlaku di daerah Miri selepas Taman Goodwill Sepupok Niah pada 1 Ogos.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, mengesahkan ada menerima satu laporan polis susulan penemuan itu pada Ahad.