Seorang parah, dua cedera ringan kemalangan tiga kenderaan
Pasukan penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit. Gambar kredit Bomba |
KOTA SAMARAHAN—Seorang lelaki parah, manakala dua individu cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Stakan Melayu di sini, pagi tadi.
Dalam nahas sekitar jam 7.40 pagi tersebut, kemalangan dilaporkan melibatkan kenderaan jenis Perodua Alza, Perodua Kelisa dan Toyota Hilux.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.43 pagi dan mengarahkan sepasukan anggota bomba ke lokasi kejadian.
“Sejurus tiba, terdapat seorang mangsa iaitu seorang lelaki dewasa tersepit di tempat duduk pemandu Perodua Kelisa dan dalam keadaan sedar.
“Pasukan penyelamat kemudian menggunakan peralatan khas dalam usaha mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, PGO berkata manakala pemandu kenderaan Perodua Alza iaitu seorang wanita dan pemandu Toyota Hilux, seorang lelaki berjaya keluar sendiri dari kenderaan sebelum anggota bomba tiba di lokasi.
Sementara itu, lelaki yang tersepit tersebut katanya, berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut.
“Operasi melibatkan sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan tamat pada 8.42 pagi,” katanya.