Seorang maut, tiga cedera nahas kereta di Jalan Puncak Borneo



KUCHING-- Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh tebing tanah yang berlaku di Jalan Puncak Borneo berdekatan Klinik Kesihatan Braang Bayur awal pagi tadi. 


Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa yang maut adalah penumpang dikenali sebagai Cristian Shall Steferd, 21, berasal dari Kampung Emperoh Jambu. 


"Pemandu kereta lelaki berusia 20 tahun cedera lengan tangan kanan dan dua penumpang lelaki berusia 21 dan 22 tahun masing-masing cedera di bahagian leher dan cedera ringan," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Mengulas lanjut kemalangan itu, Abang Zainal memberitahu, kemalangan dikatakan berlaku sekitar jam 5.30 pagi di Jalan Puncak Borneo berdekatan dengan Klinik Kesihatan Braang Bayur melibatkan satu buah kereta jenis Daihatsu. 


"Kereta terbabit datang dari Kampung Bratan menuju ke Kampung Jambu. Apabila sampai Jalan Puncak Borneo, dipercayai kereta tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan di sebelah kanan lalu merempuh tebing tanah. 


"Akibat dari pelanggaran itu, pemandu dan dua penumpang mengalami cedera ringan dan telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak Kuching untuk rawatan susulan manakala seorang lagi penumpang telah disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Braan Bayur oleh pegawai perubatan bertugas," jelasnya. 


Tambahnya, mayat mangsa kemudian telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya. 


Kes masih dalam siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Next Post Previous Post