See Chee How 'tidak tidur' ketika tandatangan aku janji


KUCHING—See Chee How 'buka mata' ketika menandatangani Aku Janji sebagai calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) lalu.


Sekretariat parti berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang itu telah menandatangani ikrar tersebut untuk tidak keluar parti jika memenangi kerusi berkenaan sebagai calon PSB.


Justeru tegasnya, See harus menunaikan ikrar berkenaan dengan melepaskan jawatannya sebagai ADUN Batu Lintang.


""See menandatangani ikrar bertulis tidak akan keluar dari PSB sekiranya memenangi kerusi sebagai calon PSB. Sekiranya keluar, beliau akan meletakkan jawatan sebagai ADUN, itu sudah jelas.


"Beliau dengan rela hati menandatangani dengan mata terbuka dan bersetuju bahawa beliau akan meletakkan kerusinya dan akan memberi pampasan kepada PSB sekiranya beliau memutuskan untuk keluar dari PSB selepas memenangi kerusi tersebut sebagai calon PSB,” katanya dalam kenyataan.


Tambahnya, sebagai seorang peguam kanan yang berpengalaman, See mengetahui intipati ikrar tersebut apabila ditawarkan peluang menjadi calon PSB. 


“See patut letak jawatan bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil sekali gus membuktikan beliau dapat mempertahan kerusi itu sebagai calon Bebas," katanya.


Malah Presiden PSB Datuk Sri Wong Soon Koh turut mendesak See mengosongkan kerusi ADUN tersebut bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil untuk memilih wakil rakyat baharu.


Sebelum ini, parti berpendirian tiada paksaan terhadap See atau mana-mana calon lain untuk menandatangani ikrar tersebut.


"Kami dengan jelas dan terang memaklumkan kepada setiap calon yang berpotensi bahawa, jika niat mereka adalah untuk 'melompat parti' selepas menang sebagai calon PSB, mereka tidak seharusnya menerima pencalonan dan tidak harus menandatangani ikrar dan perjanjian,” tegasnya.

Next Post Previous Post