Sayap baharu PBB dapat sambutan hangat anak muda


SAMARAHAN—Ketika ini sebanyak 46 peratus pengundi di Parlimen Kota Samarahan adalah belia berusia antara 18 hingga 40 tahun.


Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, penyertaan ahli baharu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dari belia berusia 18 hingga 28 tahun mendapat sambutan di Parlimen Kota Samarahan.


Beliau berkata, ini akan seterusnya membolehkan belia terbabit menyertai Sayap 18-28 PBB yang baharu ditubuhkan di peringkat negeri atau ibupejabat parti.


"Untuk Sayap Belia 18-28 PBB, di Kota Samarahan response (sambutan)nya bagus, "katanya selepas menghadiri Hari Belia Negara 2022 Peringkat Bahagian Samarahan di pusat beli belah The Summer Mall di sini, hari ini.


Rubiah bagaimanapun tiada butiran jumlah belia berusia 18 hingga 28 tahun di Kota Samarahan yang sudah menjadi ahli parti itu setakat ini.


Katanya berikutan penubuhan sayap baharu itu, cawangan Sayap Pemuda dan Sayap Wanita PBB Dewan Undangan Negeri (DUN) Parlimen itu dan ranting mereka telah berusaha memberi penerangan mengenainya ke peringkat akar umbi serta menarik belia menyertainya.


“Terkini adalah PBB Asajaya yang mengadakan jerayawara dari kampung ke kampung dan cawangan ke cawangan," katanya.


Sehubungan itu, beliau yakin PBB tiada masalah dengan pengundi 18 hingga 28 tahun di Parlimen terbabit pada pilihan raya umum akan datang.

Next Post Previous Post