Sarawak tidak bercadang naikkan caj masuk ke tempat tarikan pelancongan

Abdul Karim semasa sidang media Borneo Music Festival Live 2022, di sini, hari ini.

KUCHING—Sarawak tidak bercadang mengikut langkah negara jiran Indonesia yang akan menaikkan mendadak kadar bayaran  kemasukkan ke tempat tarikan pelancongannya.


Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata negara jiran terbabit berbuat demikian mungkin kerana mahu sumber kewangan dari sektor pelancongan secepat mungkin selepas dua tahun dilanda Covid-19.



"Mungkin dalam beberapa tahun lagi bila kita fikir perlu, kita akan meningkatkannya, pada waktu ini kita masih mampu menguruskan semua kemudahan (di tempat tarikan pelancongan) pada kadar (harga) yang kita kenakan," katanya ketika sidang media Borneo Music Festival Live 2022, di sini, hari ini.


Karim mengulas langkah kerajaan di Indonesia yang bercadang menaikkan harga kemasukan ke Taman Negara Komodo dan  Pulau Padar mulai 1 Januari 2023. 


Ketika ini, pelancong domestik dikenakan caj RM22, pelawat asing RM44 manakala tarif baharu kelak ialah sekitar RM1,120.


Kenaikan 18 kali ganda untuk masuk ke pulau-pulau paling popular di taman itu bertujuan untuk mengehadkan bilangan pelawat bagi melindungi biawak komodo yang terancam daripada pendedahan berlebihan kepada manusia dan kerosakan alam sekitar.


Karim berkata ketika aktiviti pelancongan kembali meningkat semula waktu ini, Sarawak mesti adil kepada pelancong tempatan atau asing selepas dua tahun mereka terpaksa lockdown kerana Covid-19.


Katanya ini dengan terus memberikan mereka peluang menikmati pakej pelancongan di negeri ini dengan kadar bayaran yang minimal.


"Malah kadar tiket kemasukan ke Muzium Budaya Borneo amat berpatutan, saya tidak mendapat sebarang aduan atau orang mengatakan harganya terlalu tinggi, ramai  mengatakan harganya berpatutan termasuk warga Sarawak,"katanya.


Karim berkata lebih 700 orang mengunjungi muzium itu di hari pertama tiket kemasukan mula dikenakan pada 1 Ogos lepas dengan kutipan tiket hari itu juga hampir mencecah RM10,000.


"Saya boleh kata purata sehari sebanyak RM10,000 hasil kutipan tiket ke muzium terbabit," katanya dan ini diluar jangkaannya.


Beliau berkata sebelum ini juga kerajaan Sarawak turut memberi subsidi bagi pakej pelancongan Sia Sitok dan juga membayar kos kuarantin di hotel bagi mereka yang berkunjung ke negeri ini.

Next Post Previous Post