Reaksi pemimpin politik selepas Najib di penjara
Datuk Seri Najib Tun Razak |
KUALA LUMPUR—Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, menerima pelbagai reaksi daripada para pemimpin.
Ada antara mereka menyifatkan keputusan itu sebagai bukti badan kehakiman negara bebas daripada dipengaruhi kuasa politik namun terdapat juga yang menzahirkan rasa simpati terhadap bekas perdana menteri itu.
Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini membuktikan sistem kehakiman negara yang bebas dapat menjamin keadilan dan mengembalikan maruah negara yang tercalar.
“Kebebasan sistem kehakiman inilah yang saya pertahankan ketika saya menjadi Perdana Menteri. Walaupun ada desakan politik supaya saya campur tangan dalam kes tertentu, saya tegas menolaknya walau akhirnya saya terpaksa meletak jawatan kerana mempertahankan prinsip ini.
“Saya berharap, kebebasan badan kehakiman di negara kita terus dilindungi tanpa ada cubaan campur tangan atau desakan politik daripada mana-mana pihak agar keadilan dapat tertegak...tanpa badan kehakiman yang bebas, sistem demokrasi di negara kita akan gagal untuk berfungsi dan Malaysia menjadi sebuah negara yang bersifat autoritarian, rasuah dan bankrap moral, na'uzubillah,” katanya di Facebook hari ini.
Sementara itu, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berpandangan keputusan terhadap Najib itu adalah hasil daripada aspirasi rakyat yang ingin memastikan badan kehakiman negara bebas dan membersihkan negara daripada gejala rasuah.
“Ini membuktikan rakyat itu berkuasa, rakyat telah membuat keputusan pada 2018 untuk memastikan badan kehakiman bebas dan negara bersih daripada rasuah.
“Keputusan rakyat inilah yang membolehkan pendakwaan yang profesional dan ketegasan serta keberanian badan kehakiman membuat keputusan berdasarkan fakta dan hukum, bukan mengikut telunjuk politik pihak yang berkuasa,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebooknya.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook menyifatkan keputusan hari ini sebagai satu amaran kepada semua pemimpin politik agar tidak terlibat dalam isu penyalahgunaan kuasa selain turut menambah perkara itu adalah satu kemenangan untuk sistem demokrasi negara.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berharap Najib dan keluarga terus tabah susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan terhadap beliau dan menganggap kes tersebut akan terus diulas pelbagai pihak.
“Beliau anak Perdana Menteri, namun telah melantik saya, anak penoreh getah sebagai Timbalan Menteri sebelum ini dan tidak akan saya lupa. Kes ini akan terus diulas. Rakyat juga sedang menghakimi,” katanya di Facebook.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata jasa dan khidmat bakti Najib kepada UMNO dan negara sebelum ini tidak boleh dinafikan dan beliau menzahirkan simpati terhadap bekas perdana menteri itu dan seluruh ahli keluarganya susulan keputusan hari ini.
“Justice hurried is justice buried, adalah satu frasa yang boleh kita hayati bersama dalam situasi ini,” katanya.
-- BERNAMA