Rakan nyalakan api untuk bergurau, remaja rentung dalam tandas

Anggota bomba mengangkat mayat remaja yang rentung dalam sebuah tandas awam di Bandar Puncak Alam petabg tadi. Gambar kredit Bomba

SHAH ALAM—Gara-gara ingin bergurau dengan rakan membawa padah apabila seorang remaja lelaki ditemukan maut dalam kebakaran di sebuah tandas awam di Bandar Puncak Alam petang tadi. 


Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan pada 2.35 petang dan apabila tiba di lokasi didapati api telah padam serta menemukan Muhamad Damin Mikhail Kansol, 16, yang rentung di tandas awam. 


“Bomba seterusnya mengeluarkan mangsa dan telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan. Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan malam ini. 


Beliau berkata hasil maklumat saksi dan dua rakan kepada mangsa, mereka bertiga sedang melepak dan bermain game di dalam tandas tersebut manakala mangsa sedang tidur di atas sofa di hadapan pintu tandas. 


Norazam berkata rakan mangsa telah menyalakan api di bawah sofa dengan niat untuk bergurau dan setelah asap tebal dan api semakin besar dua rakan mangsa telah lari ke luar tandas. 


“Manakala mangsa yang tersedar dari tidur berada dalam keadaan separa sedar dan melarikan diri ke dalam tandas,” katanya. 


-- BERNAMA

Next Post Previous Post