PRU15: PH Sabah, Sarawak boleh guna logo sendiri


KUALA LUMPUR—Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk menggunakan satu logo bagi bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.


Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu diputuskan dalam mesyuarat bulanan majlis berkenaan, semalam.


“Satu reka bentuk baharu logo tersebut juga akan dipertimbang bagi memberi imej dan nafas baharu dalam usaha gerak kerja PRU15,” menurut kenyataan itu.


Kenyataan Majlis Presiden PH berkenaan dikeluarkan secara bersama oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. 


Sementara itu, Anwar, yang juga Pengerusi PH, berkata bagi Sabah dan Sarawak, PH negeri diberikan kebebasan untuk memutuskan sama ada mereka mahu menggunakan logo gabungan parti itu atau logo masing-masing pada PRU15.


“Ini kerana pendirian kita adalah menghormati keputusan pimpinan Sabah dan Sarawak,” katanya dalam rakaman suara yang dikongsi kepada media menerusi kumpulan WhatsApp hari ini.


Anwar berkata keputusan untuk menggunakan satu logo adalah kerana tidak mahu gabungan itu dilihat seolah-olah berpecah seperti mana yang pernah dilakukan PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lepas yang menurutnya telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi.


Pada PRN berkenaan, DAP dan Amanah kekal menggunakan logo PH manakala PKR menggunakan logo sendiri.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post