Polis rampas 2,105 laras senjata api tiruan bernilai RM318,520
Beh (tengah) menunjukkan senjata tiruan yang berjaya dirampas di IPD Sentul hari ini. Gambar kredit IPD Sentul |
KUALA LUMPUR— Polis merampas 2,105 laras senjata api tiruan pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM318,520 daripada seorang lelaki dan serbuan di beberapa lokasi berasingan di sekitar ibu negara, semalam dan hari ini.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata rampasan dilakukan susulan penahanan lelaki berusia 26 tahun itu di tepi jalan Taman Pusat Kepong, Jinjang oleh anggota polis yang melakukan rondaan kira-kira 11 pagi.
Gambar kredit IPD Sentul |
Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas lelaki itu dan kenderaan miliknya, polis menjumpai 25 laras senjata api tiruan, dua pistol mainan serta 480 butir peluru plastik di tempat duduk penumpang hadapan dan belakang kereta terbabit.
"Susulan tangkapan itu, pada 12 tengah hari ini, polis menyerbu sebuah premis perniagaan di Taman Fadason, Jinjang dan sebuah kediaman di Taman Megah Kepong.
"Hasil serbuan mendapati lokasi tersebut dijadikan tempat penyimpanan senjata api tiruan dan polis merampas 731 pucuk pistol tiruan, 198 laras senapang tiruan serta 1,149 laras rifle tiruan pelbagai jenis," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.
Beh berkata siasatan lanjut mendapati lelaki itu menjalankan perniagaan menjual pelbagai mainan senjata tiruan secara dalam talian sejak Oktober lepas dengan membeli barangan itu dari China.
"Senjata api tiruan itu dijual pada harga RM50 hingga RM200 seunit melalui beberapa aplikasi perniagaan dalam talian seperti Shopee dan Lazada,” katanya.
Beliau berkata lelaki itu direman hingga Jumaat ini bagi siasatan mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen.
-- BERNAMA