PGA rampas 12 ekor anjing seludup bernilai RM96,000

Anjing baka cyprus poodle yang dirampas semasa serbuan di pangkalan haram di Kampung Jenub, dekat Tanah Merah kelmarin. Gambar kredit PDRM

KOTA BHARU— Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) merampas 12 ekor anjing bernilai RM96,000 yang diseludup masuk melalui pangkalan haram di Kampung Jenub, Bukit Bunga, Tanah Merah dekat sini pada Selasa lepas (2 Ogos).


Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata rampasan dilakukan pada 12 tengah hari susulan intipan dilakukan anggotanya ke atas sebuah sebuah perahu dari arah Thailand yang membawa beberapa bakul menuju ke tebing sungai di lokasi itu.


"Sebaik tiba di tebing, beberapa lelaki dilihat bertindak memunggah bakul tersebut masuk ke dalam sebuah kereta yang sudah menunggu di tebing sungai.


"Ketika serbuan, kesemua lelaki terbabit melarikan diri namun pemandu kenderaan lelaki warga tempatan berusia 59 tahun berjaya ditahan. Pemeriksaan menemukan lima sangkar plastik mengandungi 12 ekor anjing baka cyprus poodle dan pomeranian," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.


Muhamad Zaki berkata kesemua anjing yang dirampas diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Rantau Panjang untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011. 


Sementara itu, beliau berkata pada hari yang sama anggota PGA8 turut merampas 9,600 kotak pod dan 240 botol cecair vap pelbagai jenama yang keseluruhannya bernilai RM792,000 di Tumpat.


Menurutnya kesemua barangan rampasan itu diserahkan ke Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan untuk siasatan di bawah Seksyen 9 Akta Racun 1952.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post