Petronas timbang guna teknologi untuk mengelektrikkan pelantar luar pantai di Sarawak
Gambar arkib |
KUALA LUMPUR— Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sedang menimbang pelbagai teknologi termasuk penjana turbin kelajuan angin rendah untuk mengelektrikkan pelantar luar pantainya.
Naib presiden kanan Strategi Korporatnya, Mazuin Ismail berkata syarikat petroleum nasional itu sedang mengkaji untuk menggunakan penjana turbin kelajuan angin rendah untuk menjana elektrik di pelantarnya, sambil menambah Petronas bersedia untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak berhubung perkara itu.
“Terdapat banyak teknologi dan pembangunan yang kami usahakan untuk menjadikan ia berfungsi. Satu perkara tentang Malaysia adalah kelajuan angin tidak konsisten.
“Namun adakah kami menimbangkannya? Sudah tentu," katanya pada sesi panel tertajuk ‘Sustainable Energy-Low Carbon Development: Where are we now and the way forward’ di luar acara Sidang Kemuncak Tenaga Mampan Antarabangsa 2022, di sini, hari ini.
Mazuin berkata demikian sebagai menjawab soalan tentang sama ada Petronas dan Sarawak Energy Bhd menjalin kerjasama untuk mengelektrikkan beberapa pelantar luar pantai di Sarawak di tengah-tengah peluang yang semakin meningkat di rantau ini.
-- BERNAMA