Pertama kali beraksi, Joe Ee beri kejutan emas
Ng Joe Ee mencipta kejutan apabila beliau mempamerkan aksi memukau untuk menyumbangkan emas kelima Malaysia. Gambar kredit Olympic Council of Malaysia |
BIRMINGHAM—Gimnas muda negara Ng Joe Ee mencipta kejutan apabila beliau mempamerkan aksi memukau untuk menyumbangkan emas kelima Malaysia pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 menerusi disiplin bola, di sini hari ini.
Meskipun pertama kali beraksi pada temasya itu, gerakannya yang anggun dan cekap menangkap bola di Arena Birmingham memikat barisan pengadil bagi merekodkan 29.700 mata, sekali gus mencapai sasaran satu pingat emas bagi kem gimrama.
Suzanna Shahbazian dari Kanada yang mencatatkan 29.050 mata terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, manakala Anna Sokolova dari Cyprus membawa pulang gangsa dengan 28.800 mata.
Catatan mata gimnas berusia 16 tahun itu dalam final hari ini ternyata lebih tinggi daripada markah yang diperolehnya ketika pusingan kelayakan iaitu 28.600 mata untuk menduduki tempat kedua, Khamis lepas.
Sementara itu, seorang lagi gimnas negara Izzah Amzan sekadar mendapat tempat ketujuh daripada lapan atlet selepas mencatatkan 25.800 mata dalam pusingan akhir disiplin gelung.
Gimnas Wales Gemma Natasha Frizelle muncul juara disiplin tersebut dengan pungutan mata 28.700, manakala Anna Sokolova dari Cyprus mengumpul 28.300 mata bagi meraih perak dan wakil Kanada Carmel Kallemaa memenangi gangsa dengan 28.200 mata.
-- BERNAMA