Penyamun bawa kepala dalam guni, berita palsu
DSP Zamry Alli |
BETONG--Berita berkenaan tangkapan dua penyamun yang membawa kepala kanak-kanak dalam guni oleh orang awam yang tular di media sosial sejak beberapa hari yang lalu merupakan berita palsu.
Hal ini dijelaskan oleh Ketua Polis Daerah (KPD) Betong, DSP Zamry Alli dalam satu siaran media yang dikeluarkan untuk siaran umum.
"Pihak Polis Betong menafikan wujudnya kejadian ini berlaku di Daerah Betong.
"Saya meminta masyarakat tidak mempercayai cerita yang tidak betul dan hanya merujuk kepada pihak Polis Daerah Betong.
"Masyarakat diingatkan agar tidak mudah percaya dengan penyebaran sebarang berita yang tidak sahih dan berita yang mengancam ketenteraman awam yang disebarkan dimana-mana media sosial sekiranya belum disahkan benar oleh pihak Polis.
"Oleh itu orang awam dinasihatkan supaya tidak mudah percaya selain menyalahgunakan sebarang maklumat yang tidak sahih bagi mengelak kegusaran dikalangan masyarakat," katanya.
Menurutnya sesiapa yang menyiarkan berita yang tidak benar dalam kandungan media sosial boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang memuat naik kandungan palsu di media sosial boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
"Saya merujuk kepada penyebaran gambar dan rakaman suara yang tidak sahih berkenaan kejadian dua individu yang membawa kepala kanak-kanak dalam guni telah ditangkap dan satu lagi penyebaran gambar yang menyatakan penyamun kanak-kanak telah ditangkap di Daerah Betong dalam aplikasi Whatsapp dan media sosial Facebook sejak beberapa hari lalu.
"Saya juga menegaskan bahawa kejadian yang tular ialah berita palsu," tegasnya.