Penduduk 10 rumah panjang di Sungai Musah tagih projek SK Nanga Musah baharu


SONG-- Penduduk di 10 rumah panjang di Sungai Musah menagih janji kerajaan untuk membina baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Musah di kawasan berkenaan.


Menurut Crisstian Moses dalam hantaran Facebooknya pada 9 Ogos lalu, bangunan SK Nanga Musah lama yang dibina pada 1963 telah ditutup 16 tahun lalu berikutan ancaman hakisan tanah, bangunan telah usang dan faktor lain.



Jelasnya, berikutan itu, murid-murid di sekolah berkenaan telah dipindahkan dan menumpang di SK Nanga Nyimoh sejak 2001.


"Namun, selepas lebih 16 tahun menumpang di bangunan SK Nanga Nyimoh di Sungai Katibas yang terletak kira-kira sejam perjalanan mengunakan bot dari Sungai Musah ke Nanga Nyimoh di Sungai Katibas, sehingga sekarang ibu bapa terpaksa meneruskan rutin yang sama iaitu menghantar anak-anak mereka ke Nanga Nyimoh menggunakan bot," katanya.


Keadaan ini katanya disebabkan tiada akses jalan dari Sungai Musah ke Nanga Nyimoh di mana lokasi sementara SK Nanga Musah berada semenjak 16 tahun yang lalu.


Crisstian memberitahu, di Sungai Musah memiliki 10 rumah panjang iaitu Rh Japok Ribai di Nanga Senyaru; Rh Ajan Gait, Nanga Musah; Rh Philip Geliga ,Lubok Subong; Rh Dampol Kanin,Nanga Pasi; Rh Bagan Jugam, Nanga Tenganggai; Rh Tugang Bati,Emperan Kasai; Rh Baro Mawa di Nanga Semulong, Batu Ensulit; Rh Demang Rebai di Emperan Menuang; Rh Joslee Unchat,Nanga Matalau dan Rh Sanda Tading di Nanga Setapang ,Ulu Musah.


Jelas beliau, daripada 10 rumah panjang itu, hanya dua rumah panjang memiliki akses jalan iaitu Nanga Senyaru (Jalan Song -Nanga Banjor) dan Ng Matalau (Jalan Balak) manakala lapan rumah panjang yang lain masih dihubungi dengan laluan sungai.


"Selepas penutupan SK Nanga Musah pada tahun 2001, pihak kerajaan pernah mengadakan mesyuarat bersama Tuai Rumah yang terlibat dan mengumumkan akan membina SK Nanga Musah di tapak yang baru yang terletak di tepi Jalan Nanga Banjor dan tapak berkenaan sudah dikenal pasti.


"Tetapi sehingga kini projek Sekolah Baru SK Nanga Musah belum bermula walaupun sudah 16 tahun berlalu," dakwanya.


Katanya lagi, seorang Tuai Rumah memaklumkan semenjak penutupan sekolah berkenaan lebih sedekad yang lalu, Sungai Musah semakin kurang penduduknya kerana ibu bapa terpaksa berhijrah di kawasan yang berdekatan dengan kemudahan persekolahan.

Next Post Previous Post