Parlimen Indonesia lulus kerakyatan Jordi Amat dari JDT
Jordi Amat |
JAKARTA—Penggubal undang-undang Indonesia telah meluluskan kerakyatan pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Kelab Liga Super Malaysia, Jordi Amat Maas.
Jordi, 30, merupakan pemain bola sepak profesional Sepanyol berketurunan Indonesia dari susur galur neneknya yang dilahirkan di Makassar, Sulawesi Selatan.
Suruhanjaya III Dewan Perwakilan juga meluluskan kerakyatan Sandy Henny Walsh, yang kini bermain untuk kelab Belgium KV Mechelen sebagai pemain pertahanan.
Sandy, 27, mewarisi darah Indonesia daripada ibunya, dan datuknya berasal dari Surabaya, Jawa Barat manakala neneknya berasal dari Purworejo, Jawa Tengah.
Cadangan itu dibentangkan oleh Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Edward O.S. Hiariej, Menteri Belia dan Sukan Zainudin Amali dan ketua Persatuan Bola Sepak Indonesia Mochamad Iriawan.
Dalam satu kenyataan, Edward berkata mereka diberi kerakyatan Indonesia di bawah peruntukan pencapaian mereka dalam bidang sukan dan demi kepentingan negara.
Jordi dan Sandi, turut menyertai mesyuarat itu secara dalam talian dengan memakai baju batik pada Isnin, dan menunjukkan kefasihan mereka melafazkan falsafah negara 'Pancasila' dalam Bahasa Indonesia.
Dengan keputusan itu, kedua-dua pemain dijangka meningkatkan prestasi pasukan bola sepak negara dan kini menunggu Dekri Presiden mengenai kewarganegaraan masing-masing.
-- BERNAMA