Padah beli Toyota Harrier dalam talian, lelaki rugi RM24,532

Gambar hiasan kredit Paultan.org

SIBU– Hasrat seorang lelaki membeli kereta import Toyota Harrier dari Singapura pada harga murah melalui media sosial membawa padah apabila mendakwa kerugian RM24,532 selepas ditipu penjual.


Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa yang berusia 35 tahun mendakwa berminat membeli kereta ‘recond’ itu selepas melihat ia diiklankan di Facebook pada harga RM38,300 dengan tempoh bayaran ansuran sehingga lima tahun pada 6 Ogos lalu.


Menurutnya, mangsa yang tertarik dengan iklan penjualan kereta 'recond' dari Singapura itu kemudian berurusan dengan ‘penjual’ melalui aplikasi Whatsapp untuk tujuan pembelian tersebut.


“Suspek kemudian meminta mangsa membuat lima transaksi pembayaran ke dua akaun bank dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM24,532 atas pelbagai tujuan seperti pembayaran untuk urusan Puspakom, cukai jalan, insurans dan kos penghantaran.


“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu semalam (18 Ogos) selepas suspek mendesak membuat pembayaran lagi sebanyak RM7,000 atas alasan untuk bayaran kemasukan kereta dari luar negara ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Mangsa yang tersedar dirinya terjerat tipu helah kemudian membuat laporan di balai polis dekat sini semalam.


Sementara itu Zulkipli menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada sebelum membuat sebarang pembelian kenderaan secara dalam talian bag mengelak menjadi manga penipuan.


“Lebih baik buat tinjauan dan menyemak harga jualan semasa di pasaran terlebih dahulu atau pergi terus ke kedai syarikat jualan kereta untuk melihat kereta, selain berbincang dengan pemilik syarikat atau ejen yang sah.”


“Jangan mudah percaya dengan iklan jualan kereta yang menawarkan harga murah atau harga istimewa yang semakin hari semakin banyak di media sosial,” katanya.


Sebarang nasihat dan kemusykilan berkaitan jenayah komersil boleh dirujuk kepada CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599 ikuti laman facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM.


Semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui boleh dibuat melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/

Next Post Previous Post