Operasi SAR lelaki hilang di Jambatan Igan diteruskan esok hari

Gambar kredit Bomba

SIBU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari pertama lelaki yang dilaporkan hilang di Jambatan Igan di sini sejak pagi semalam, gagal menemui mangsa.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (SAR) Bomba berkata, operasi pencarian Yong Dock Ho, 25, dijalankan di dipermukaan air oleh pasukan SAR sekitar lima kilometer (km) di hilir sungai itu.



Katanya, pasukan daripada Unit Anjing Pengesan (K9) melakukan pengesanan lokasi terakhir mangsa di lokasi dan mendapati titik terakhir keberadaan mangsa di atas jambatan.


"Namun usaha pencarian hari ini menemui jalan buntu dan operasi SAR ditangguh pada jam 5.45 petang susulan hari mulai gelap.


"Operasi SAR akan disambung semula keesokan hari," katanya dalam kenyataan hari ini.


Terdahulu, kehilangan lelaki terbabit dilaporkan ahli keluarganya di Balai Polis Sungai Merah selepas penemuan kereta miliknya di atas Jambatan Igan.


Mangsa dilaporkan hilang sekitar 10 pagi semalam manakala turut ditemui barangan milik mangsa yang ditinggalkan dalam kenderaan.


Sehubungan itu, seramai tujuh anggota bomba bersama sebuah jentera dan EMRS bergerak ke lokasi selepas menerima laporan daripada Balai Polis Sungai Merah pada 11.08 pagi tadi.

Next Post Previous Post