Nur Fidzlah, harumkan nama SMK St. Augustine dapat PNGK 4.00

Nur Fidzlah Nadzirah bersama kedua-dua ibu bapanya semasa pengumuman keputusan STPM di SMK Saint Augustine, Betong hari ini.

BETONG— Nur Fidzlah Nadzirah Lenard Bujang@ Shahrul Nizam mengharumkan nama SMK St. Augustine Betong selepas memperoleh 4.00 Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) dalam keputusan STPM 2021 yang diumumkan hari ini.


Anak sulung kepada Shahrul Nizam dan pasangannya Madinah Yakup merupakan salah seorang daripada 95 pelajar yang memperolehi PNGK 4.00 di Sarawak, yang diumumkan Pengarah Pendidikan Sarawak, Datu Azhar Ahmad.



Penolong Kanan SMK St. Augustine Betong, Aleksey Aman berkata, kejayaan Nur Fidzlah ini amat menbanggakan kerana beliau satu-satunya pelajar dari sekolah itu yang mendapat PNGK 4.00.


"Selain Nur Fidzlah, seramai 33 daripada 57 calon memperolehi PNGK 3.00 ke atas yang mewakili 57.9% berbanding 21 orang (38.3%) pada STPM 2020.


"Kita amat bangga dengan keputusan yang diperolehi dan pencapaian pelajar yang diterima berbanding pencapaian tahun sebelumnya,” katanya.


Selain itu, Gred Purata Sekolah (GPS) meningkat ke 2.95 berbanding 2.72 pada 2020.


"Dalam masa yang sama seramai 57 calon menerima keputusan masing-masing menyaksikan kesemua mereka lulus dan layak mendapat sijil dalam peperiksaan tersebut," ujarnya.


Tambahnya, apa yang lebih mengharukan keputusan sekolahnya yang memperolehi GPS (2.95%) mengatasi PNGK Nasional (2.79%) turut menyumbang pencapaian keputusan yang baik.


"Apa yang begitu terkesan dengan pencapaian yang diperolehi ialah, kohort ini merupakan yang paling lama melalui sesi persekolahan akibat pandemik COVID-19.


"Mereka juga menempuhi cabaran dengan pembelajaran bersemuka dan pembelajaran dari rumah (PdPR).


"Namun kecekalan dan kegigihan mereka melalui saat-saat getir ini berbaloi apabila mendapat keputusan cemerlang. Tahniah dan syabas buat semua,” katanya.


Beliau percaya ia akan menjadi pembakar semangat khususnya kepada bakal calon STPM pada masa akan datang.


“Saya berharap kejayaan ini akan terus menyemarakkan semangat pelajar-pelajar kita untuk terus cemerlang,” katanya.


Turut hadir Penolong Kanan Tingkatan Enam, Rajemi Semail.

Next Post Previous Post