Menjelang PRU15, Rubiah Wang umum UTC Kota Samarahan sudah diluluskan tapi....
ASAJAYA—Kementerian Kewangan secara prinsip sudah meluluskan permohonan bagi mewujudkan satu Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kota Samarahan.
Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang, berkata bagaimanapun ia belum dapat dilaksanakan kerana perlu menunggu perincian daripada Kementerian Kewangan (MoF).
“Perincian ini termasuk jadual perlaksanaan dan lokasi di Kota Samarahan. Ketika ini MoF masih membuat kajian kesesuaian lokasi untuk mewujudkan pusat itu.
"Mereka mahukan bangunan kerajaan ataupun bangunan terbiar tempatan sedangkan sebelum ini kita mencadangkan pusat beli-belah Summer Mall,"katanya.
Rubiah berkata demikian selepas merasmikan Program Asajajayakusayang: "Merdekaku Pertahankan" di Dewan Pejabat Daerah Asajaya di sini, hari ini.
Tambahnya, pusat beli belah tersebut dipilih setelah mengambil kira ruang yang luas bagi menempatkan pejabat UTC di samping lokasi yang strategik dan berpotensi mengembangkan ekonomi masyarakat setempat.
“Bangunan Summer Mall adalah alternatif yang baik memandangkan bangunan kerajaan di Samarahan tidak mencukupi.
“UTC ini kelak akan memudahkan penduduk dari Samarahan termasuk Serian serta daerah lain berhampiran untuk melakukan urusan rasmi tanpa perlu mengharungi kesesakan lalu lintas untuk turun ke UTC di Kuching,” katanya.
Beliau menambah, usaha menubunhkan UTC itu adalah permintaan masyarakat yang disampaikan semasa sesi dialog bersama pemimpin masyarakat dan pertubuhan belia kawasan di Kota Samarahan.