Kongsi pandangan tentang hidrogen, Abang Johari ke Korea dan Jepun
Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2022 di Betong hari ini. |
BETONG-- Kerajaan Sarawak akan mengukuhkan kerjasama dengan pelabur Korea dan Jepun untuk membangunkan ekonomi hidrogen di negeri ini.
Ini menerusi kunjungan yang akan dibuat oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ke Korea hujung minggu ini dan Jepun pada Oktober nanti.
"Pada Oktober, saya akan memenuhi undangan ke Jepun untuk berkongsi pandangan mengenai hidrogen," katanya di Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2022 di sini, hari ini.
Sambutan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Jelasnya Abang Johari, hidrogen merupakan sumber bahan bakar baharu dalam usaha ke arah transisi tenaga daripada bahan bakar berkarbon kepada bahan bakar bebas karbon sebagai mendokong usaha dunia mengatasi perubahan iklim dunia.
Malah, Sarawak melalui SEDC Energy juga akan menjalinkan kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan Petronas.
Katanya, ia untuk menghasilkan bahan bakar lestari (SAF) daripada alga atau lumut untuk industri penerbangan.
Tegas beliau, gas rumah hijau yang menjadi punca pemanasan global disumbangkan industri penerbangan
Tambahnya, kapal terbang tidak boleh menggunakan hidrogen sebagai bahan bakar tetapi bio-fuel boleh menjadi bahan bakar alternatif yang amat sesuai untuk menguasakan enjin kapal terbang.
Terdahulu, Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Kebangsaan 2022, Datuk Julaihi Narawi berkata konsep teras patriotisme bagi membina kesefahaman dan penyatuan nilai masyarakat majmuk agar bersatu mencerminkan kesetiaan kepada negara.
Jelasnya, semangat itu perlu dihayati oleh masyarakat khususnya generasi muda kerana golongan ini perlu dipupuk dengan nilai-nilai patriotisme dari peringkat usia muda.
“Ini penting kerana apabila dewasa nanti ia akan mejadi teras jati diri cintakan negara dan sebab itu generasi muda harus disemat nilai hidup yang tidak mengutamakan kepentingan diri semata-mata, tapi lebih memberi keutamaan kepentingan tanah air.
"Negara memerlukan generasi yang berdisiplin dan produktif yang bakal mengemudi kepimpinan negara pada masa akan datang," katanya.
Julaihi yang juga Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak berkata, matlamat sambutan bagi menimbulkan kesedaran terutama belia tentang pentingnya semangat patriotisme dan sayangkan negara untuk sentiasa dipertahankan.