Khairy adakan lawatan kerja ke Thailand, teroka potensi kanabis

Gambar hiasan kredit Unsplash

BANGKOK—Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memulakan lawatan kerja bilateral kesihatan empat hari ke Thailand untuk meneroka potensi penggunaan kanabis dan ketum dalam bidang kesihatan serta menghadiri Mesyuarat Peringkat Tertinggi Kesihatan dan Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di sini.


Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi pada 4.08 petang (waktu tempatan) hari ini dan disambut Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel serta wakil Menteri Kesihatan Awam Thailand, Watcharapong Kuwijitwan dan Pengarah Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan (HSRI), Nopporn Cheanklin.


Lawatan itu atas jemputan Timbalan Perdana Menteri Thailand merangkap Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul.


Khairy dijadual melawat Pejabat Farmaseutikal Kerajaan (GPO) esok untuk mendengar taklimat mengenai dasar kanabis di negara itu termasuk amalan, kaedah penanaman, kajian serta penggunaan kanabis dan ketum bagi tujuan kesihatan di Thailand.


Thailand negara pertama di Asia Tenggara yang memberi kelonggaran undang-undang dan membenarkan pengunaan kanabis untuk tujuan perubatan.


“Lawatan bilateral kesihatan ini juga akan menjadi platform terbaik KKM untuk pendedahan dan penelitian berhubung kajian-kajian antarabangsa berkaitan kanabis dan ketum termasuk hasil dapatan ujian-ujian klinikal kanabis untuk tujuan kesihatan.


“Melalui lawatan bilateral ini, KKM berpeluang meneroka potensi penggunaan kanabis dan ketum dalam bidang kesihatan serta merangka strategi kawal selia dan penguatkuasaan undang-undang terhadap penggunaannya,” menurut Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan hari ini. 


Selain itu, kunjungan berkenaan membuka peluang kolaborasi peringkat antarabangsa untuk entiti swasta atau penyelidikan menjalankan kajian serta ujian klinikal ke atas kanabis dan ketum, membangunkan inovasi perubatan dan seterusnya meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan di Malaysia.  


Khairy dijangka mengadakan pertemuan dengan pemain utama industri kanabis dan ketum di Thailand selain mengunjungi Siam Cannabis Land untuk melihat dengan lebih dekat kaedah penanaman di dalam dan luar premis, rumah hijau serta bilik pengeringan.


Beliau dan delegasi turut dijadual melawat Bumrungrad International Hospital, satu daripada hospital swasta terbesar di Asia Tenggara dan Institut Psikiatri Somdet Chaopraya.


Julai lalu, Khairy berkata satu kerangka kerja berhubung pendaftaran produk cannabidiol (CBD) tertentu bakal diumumkan. 


Beliau juga dijadual menghadiri HLMHE APEC di Bangkok pada Khamis sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur. 


“Komitmen Malaysia memenuhi jemputan lawatan rasmi bilateral kesihatan berhubung penggunaan kanabis dan ketum bagi tujuan kesihatan serta menghadiri mesyuarat HLMHE APEC membuktikan Malaysia adalah konsisten dan komited dalam setiap kerjasama di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.


-- BERNAMA 

Next Post Previous Post