Kerja pembaikan jalan Empangan Murum sedang giat dijalankan
Kennedy Chukpai Ugon |
BELAGA— Kerja-kerja pembaikan Jalan Empangan Murum yang runtuh sejak petang semalam akibat hujan lebat sedang giat dijalankan pada masa sekarang.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon, jalan yang terjejas di kilometer 13+300 itu ditutup buat sementara waktu bagi memberikan laluan Jabatan Kerja Raya (JKR) melaksanakan kerja-kerja membaiki jalan.
“Perkembangan kerja membaiki jalan ini akan dimaklumkan dari masa ke masa.
“Justeru orang ramai dinasihat agar menggunakan laluan ladang kelapa sawit sebagai laluan alternatif untuk akses ke penempatan masing-masing," jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun katanya, orang awam yang menggunakan laluan alternatif itu dinasihatkan berhati-hati kerana keadaan tanah merah yang licin berikutan musim hujan sekarang.
Chukpai menasihatkan pengguna jalan agar sentiasa mematuhi papan tanda keselamatan dan pandu arah yang disediakan di sekitar kawasan tersebut.
"Pihak JKR Bahagian Kapit akan memaklumkan semula pembukaan jalan tersebut setelah kerja-kerja pembaikan selesai yang mana sebarang kesulitan amatlah dikesali," tegasnya.