Keluarga tahu kemalangan maut 4 beranak dari media sosial
Kemalangan di Jalan Kampung Semanggar Dalam yang meragut nyawa empat beranak. Gambar Facebook |
KOTA TINGGI— Kemalangan maut empat beranak di Jalan Kampung Semanggar Dalam, di sini, tengah hari tadi, diketahui ahli keluarga menerusi gambar di media sosial.
Ibu kepada salah seorang mangsa Rosni Sintingan berkata dia tidak menyangka kehilangan anak perempuannya, menantu dan dua orang cucunya sekelip mata.
Menurutnya, dia mengetahui mengenai insiden itu apabila seorang anak buahnya terlihat foto kemalangan tersebut di Facebook, sebelum menerima panggilan kecemasan.
Katanya, ketika tiba di tempat kejadian mayat anak sulungnya Siti Jamaliah Mohd Yatim, 27, dan cucunya Nurfatihah Jannah berusia sembilan bulan telah dibawa polis.
“Saya dapat lihat menantu (Mohamad Suti Yahaya, 39) dan cucu lelaki (Nur Firman Hadi Abdul Rahman, 5) saja yang masih terbaring di tempat kejadian dalam keadaan sudah tidak bernyawa," katanya ketika dihubungi Bernama, malam ini.
Rosni, 53, berkata lebih memilukan anak sulung mangsa Nur Suzila, 8, yang dijaga olehnya sejak dari usia empat bulan, kini menjadi yatim piatu.
"Tadi saya dah beritahu kepada Ila (Nur Suzila) mengenai tragedi yang menimpa ibu, papa serta adik-adiknya dan dia hanya menganggukkan kepala. Mungkin masih kurang mengerti tentang apa yang terjadi," katanya dalam keadaan sebak.
Dia yang baru bertemu keempat-empatnya dua hari lepas berkata, anaknya yang mesra dipanggil kakak itu merupakan seorang anak yang bertanggungjawab, selain suka bergurau.
Rosni berkata keluarganya masih menunggu keputusan bedah siasat empat beranak tersebut.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Pasir Raja, di sini.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata kejadian pada pukul 1.20 tengah hari itu dipercayai berlaku apabila Mohamad Suti yang membawa tiga lagi mangsa, gagal mengawal motosikal yang dinaiki mereka semasa melalui selekoh dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori.
Kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
-- BERNAMA