Jual minyak pelincir palsu, peniaga didenda RM52,920
Gambar hiasan |
SHAH ALAM— Padah menjual 294 botol minyak pelincir dengan cap dagangan palsu, seorang peniaga didenda lebih RM52,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Lee Lap Kee, 62, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah ke atas kelima-lima pertuduhan tersebut.
Mengikut kesemua pertuduhan, Lee didakwa berada dalam kawalannya 294 botol minyak pelincir dengan perihal dagangan palsu di Kawasan Perindustrian Balakong Jaya 2, Seri Kembangan, pada 12.45 tengah hari, 16 Mei 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8(2)(c)(B) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Rasyidah memerintahkan warga emas itu didenda RM180 bagi setiap botol minyak pelincir menjadikan denda yang perlu dibayar sebanyak RM52,920. OKS membayar denda tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kee Shu Min manakala OKS tidak diwakili peguam.
Mengikut fakta kes, pada 16 Mei 2019, sepasukan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Putrajaya melakukan pemeriksaan ke atas sebuah premis di Seri Kembangan susulan aduan beberapa wakil pemilik cap dagangan minyak pelincir.
Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat alatan, mesin dan tangki yang digunakan untuk menghasilkan minyak pelincir tersebut dan kesemua barangan tersebut telah disita.
Laporan pengesahan daripada syarikat minyak pelincir mendapati minyak-minyak tersebut bukan tulen dan tidak berdaftar dengan cap dagangan.
-- BERNAMA