JPVS siasat dakwaan bangkai babi dibuang ke dalam Sungai Semengoh 2
KUCHING— Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) sedang menyiasat dakwaan bangkai babi dalam guni yang dibuang ke dalam Sungai Semenggoh 2.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Wilfred Yap, berkata sekiranya benar bangkai babi, pemeriksaan lanjut akan dilakukan untuk mengenalpasti sama ada ia dijangkiti virus demam babi Afrika (ASF).
“Pihak saya akan membantu JPVS untuk mengendalikan bangkai tersebut termasuk dari segi pengangkutan dan pelupusan,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan pertemuan dengan JPVS di sini hari ini.
Hadir sama Setiausaha Politik Tan Kai, Pengarah JVPS Dr Adrian Susin Ambud, pegawai regulatory Dr Chuo Hock Tieng dan Ketua Penguatkuasa JPVS, Mohd Fahdil.
Wilfred dalam pada itu kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang bangkai haiwan ke dalam sungai.
“Membuang bangkai babi ke dalam sungai dilarang sama sekali kerana ia boleh menyebabkan virus itu merebak secara meluas.
Penternak sewajarnya mendapatkan kerjasama daripada jabatan veteriner yang terdekat sekiranya haiwan ternakan mereka dijangkiti virus ini,” katanya.
Ini termasuk membantu penternak menyembelih dan melupuskan babi yang sudah dijangkiti virus bagi memastikan penyebaran virus ASF dapat dibendung.
Wilfred menambah, kerajaan turut menyediakan bantuan bagi mengurangkan beban penternak yang terjejas.
Sementara itu, Dr Chuo berkata jabatan akan melakukan pemeriksaan di ladang-ladang ternakan babi dalam lingkungan 5 kilometer dari Sungai Smenggoh 2 untuk membuat pemeriksaan dan mengesan jangkitan ASF.