JPJ Sarawak keluar 29 notis kepada pemandu lori

Lori yang ditahan dalam Operasi Lebih Muatan di Jalan Stephen Yong, Batu Kitang serta sekitar kawasan Jalan Kuching-Bau hari ini. Gambar kredit JPJ Kuching

KUCHING—Sebanyak 29 notis atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuching menerusi Operasi Lebih Muatan di Jalan Stephen Yong, Batu Kitang serta sekitar kawasan Jalan Kuching-Bau hari ini.


Menurut Ketua Operasi Unit Overloading (Lebih Muatan) JPJ Kuching Fisker Nyarang, JPJ Sarawak melalui Unit Overloading dan Operasi JPJ Kuching telah mengadakan operasi itu yang mensasarkan kepada kenderaan barangan seperti lori yang membawa lebih muatan serta muatan bahaya di laluan tersebut.


Gambar kredit JPJ Kuching


"Dalam operasi tersebut kira-kira 70 buah kenderaan diperiksa dan sebanyak 29 notis atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan.


"Tindakan turut dikenakan kepada pemand yang mengubah struktur kenderaan tanpa kebenaran serta kesalahan lain di bawah Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Akta 334," katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi JPJ Sarawak hari ini.


Jelasnya lagi, operasi itu dijalankan seawal pagi dan berakhir lewat petang dengan membuat rondaan dan statik di lokasi berkenaan.


Tegasnya, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kenderaan barangan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Next Post Previous Post