Insiden lancar peluru berpandu ke Pakistan, tiga tentera India dipecat

Gambar hiasan kredit unsplash

NEW DELHI -- Kerajaan India memecat tiga pegawai tenteranya ekoran insiden melancarkan peluru berpandu ke Pakistan pada Mac.


Perkhidmatan mereka ditamatkan berkuat kuasa serta-merta, menurut Tentera Udara India.


Siasatan mendapati berlakunya pengabaian terhadap prosedur operasi standard oleh tiga pegawai berkenaan sehingga membawa kepada insiden menembak peluru berpandu dengan tidak sengaja, menurut pihak tentera dalam satu kenyataan pada Selasa.


Peluru berpandu BrahMos, ialah sistem senjata yang dibangunkan Rusia dan India, terhempas berhampiran bandar Mian Channu di wilayah Punjab pada 9 Mac.


Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan susulan insiden berkenaan dan Kementerian Pertahanan India pada ketika itu mengeluarkan kenyataan mengenai berlakunya “kepincangan teknikal”.


Pakistan membantah keras insiden itu dan menyifatkannya sebagai "pencabulan tanpa provokasi" terhadap ruang udaranya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post