Insentif untuk penjawat awam bukti kerajaan prihatin, Cuepacs

Adnan Mat

PUTRAJAYA—Enam insentif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk penjawat awam hari ini membuktikan kerajaan sentiasa prihatin dengan penjawat awam meskipun negara berdepan dengan kekangan dari sudut kewangan ekoran pandemik COVID-19, kata  Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat.


“Terima kasih kepada perdana menteri yang memahami denyut nadi penjawat awam. Penjawat awam harus berterima kasih kepada kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 (MAPPA XVIII) di sini hari ini.


Perdana Menteri pada MAPPA XVIII itu mengumumkan beberapa insentif dan berita gembira buat penjawat awam antaranya tambahan khas RM100 dalam Bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2023.


KGT tambahan khas RM100 itu adalah bagi penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 dan akan dibayar mulai Januari 2023, yang akan melibatkan kira-kira 1.28 juta penjawat awam serta implikasi kewangan berjumlah RM1.5 bilion. 


BKK Tahun 2023 adalah kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah berjumlah RM700 dan RM350 bagi pesara kerajaan serta veteran tidak berpencen, yang akan dibayar pada Januari 2023.


Sementara itu dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena pengumuman Ismail Sabri itu,  Adnan berkata insentif-insentif itu adalah manifestasi penghargaan kerajaan kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam yang sentiasa menjadi barisan hadapan dalam meletakkan negara kembali pada landasan kukuh selepas pelbagai cabaran dihadapi.


“Cuepacs memahami bahawa kerajaan mempunyai kekangan daripada sudut kewangan namun tetap cuba untuk mendengar dan memberi yang terbaik kepada penjawat awam demi menghargai sumbangan yang dicurahkan penjawat awam selama ini. 


“Segala insentif yang diumumkan oleh kerajaan ini sekurang-kurangnya mampu memberi kelegaan kepada penjawat awam yang begitu terkesan dengan peningkatan kos sara hidup dan kenaikan inflasi,” katanya.


Beliau turut menyifatkan komitmen kerajaan pimpinan Ismail Sabri untuk menyegerakan kajian ke atas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dengan mengambil kira keseluruhan aspek modal insan merangkumi saraan dan perkhidmatan amat dihargai serta ditagih Cuepacs serta penjawat awam.


“Hal ini wajar dipercepatkan memandangkan sistem saraan sedia ada yang digunakan ketika ini telah dilaksanakan sejak 2002 dan tidak lagi sesuai dengan suasana persekitaran ekonomi serta kos sara hidup semasa," katanya dan menambah perkara utama yang perlu diberikan perhatian dalam sistem saraan baharu itu adalah meningkatkan gaji minimum penjawat awam kepada RM1,800 sebulan.

 

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Abdul Wahab Mat Yasin pula berkata pengumuman inisiatif kerajaan menambah baik aspek kebajikan penjawat awam di pelbagai peringkat memberi kelegaan.


"Kami amat berterima kasih walaupun kita sedia maklum kedudukan ekonomi negara belum kukuh sepenuhnya tetapi kerajaan beri perhatian terhadap apa yang dialami penjawat awam di seluruh peringkat," katanya.


Beliau berkata harapan pasukan bomba dalam kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam adalah supaya kajian itu lebih menjurus kepada aspek keselamatan anggota bomba.


"Aspek tugasan lebih mencabar dan melibatkan keselamatan nyawa. Skim gaji dan elaun khusus yang melibatkan tugasan berisiko tinggi, ia berbeza dengan pejabat dan agensi lain, ini yang di peringkat jabatan sedang perjuangkan," katanya.


Kakitangan Majlis Perbandaran Klang Nasaruddin Hassan gembira dengan pelbagai inisiatif dan penambahbaikan yang diambil kerajaan termasuk bayaran KGT tambahan khas RM100.


"Rasa seronok sebab sedikit sebanyak dengan tambahan itu dapat meringankan kos sara hidup serta memberi dorongan kepada penjawat awam supaya lebih bersemangat menjalankan tugas," katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post