ICQS Tedungan dan Pandaruan masih lengang

Suasana lenggang di ICQS Tedungan yang mula dibuka pagi tadi


LIMBANG- Keadaan di pintu masuk dan keluar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin, dan Keselamatan (ICQS) Tedungan dan Pandaruan  agak lengang meskipun kerajaan negara Brunei Darussalam membuka  pintu sempadan negara itu bermula hari ini (1 Ogos ini).


Tinjauan Borneo Network di ICQS Tedungan dan Pandaruan mendapati kemasukan kenderaan dari negara jiran ke negara ini (melalui Limbang) masih  kurang.



Seorang petugas Jabatan Imigresen di CIQ Tedungan Mohd Izan Ilham berkata kira-kira 30 kenderaan termasuk lori dan sebuah motosikal memasuki pintu sempadan dari Brunei sejak jam 5 pagi hingga 9 pagi ini.



“Bagaimanapun jumlah kenderaan yang keluar sedikit meningkat dengan dianggarkan lebih 30 kereta termasuk lori beratur menuju ke negara jiran dalam tempoh yang sama,”katanya ketika ditemui Borneo Network pagi tadi.



Sebelum inI kerajaan negara Brunei Darussalam hanya membenarkan warganegara asing termasuk rakyat negara ini yang sudah mempunyai sekurang-kurangnya dua dos vaksin untuk keluar masuk melalui negara itu sebaik pintu sempadan dibuka 1 Ogos.  


Jawatankuasa Pandu COVID-19 Negara Brunei Darussalam menekankan perkara itu dalam satu kenyataan media rasminya yang memaklumkan mengenai pengemaskinian peraturan bagi pemulihan lanjut aktiviti rentas sempadan yang akan bermula pada Isnin, 1 Ogos (hari ini). 



Persetujuan telah dicapai oleh kedua-dua negara untuk membuka pintu sempadan, bermula dari jam 6 pagi hingga 6 petang sahaja, setiap hari. 


Bagi sebarang maklumat lanjut dan terperinci, bolehlah melayari laman sesawang Jabatan Perdana Menteri di alamat www.pmo.gov.bn/travelportal atau menghubungi travel hotline di talian 120 semasa waktu bekerja ataupun melalui e-mel kepada travelapplication@jpm.gov.bn.

Next Post Previous Post