Hakim Mahkamah Tinggi lawat dua banglo terbabit kes rasuah Ahmad Zahid
Gambar FB Zahid Hamidi |
KAJANG—Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes rasuah melibatkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini melawat dua unit banglo di Country Heights, Kajang yang didakwa dibeli menggunakan dana Yayasan Akalbudi (YAB) untuk dijadikan pusat pengajian al-Quran bagi golongan yang akan bersara dan pelajar tahfiz.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah tiba di lokasi kejadian kira-kira 10.40 pagi diiringi beberapa kenderaan polis dan sebuah kereta peronda polis (MPV) dan dikawal rapi oleh polis serta pengawal keselamatan.
Turut hadir Ahmad Zahid bersama peguamnya Hisyam Teh Poh Teik, Hamidi Mohd Noh dan Datuk Zaidi Ahmad Zainal, Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffrey Ong dan Abdul Malik Ayob.
Lawatan itu berakhir pada 11.25 pagi dan kesemua pihak dilihat meninggalkan dua unit banglo itu sebelum menuju ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Dalam sesi lawatan itu, petugas media yang hadir ke lokasi sejak 10 pagi telah mendapat kebenaran masuk daripada persetujuan semua pihak termasuk pihak pengurusan perumahan mewah itu.
Pada 6 Julai lalu, Hakim Sequerah bersetuju dengan permintaan pihak pembelaan untuk melawat banglo berkenaan demi keadilan dalam perbicaraan kes bekas timbalan perdana menteri itu.
Hisyam yang mewakili Ahmad Zahid, berkata pihaknya menjemput Hakim Sequerah untuk melawat dua banglo berkenaan bagi memberikan gambaran jelas kerana pembelian banglo itu terdapat dalam satu daripada 27 pertuduhan pengubahan wang haram dihadapi anak guamnya dan sering diperkatakan dalam perbicaraan.
Hisyam berkata lawatan itu dapat memperlihatkan keadaan terkini banglo berkenaan termasuk lokasinya serta jarak banglo itu dengan Surau An-Nur di Country Heights.
Sebelum ini, peguam dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Al-Falah, Faisalludin Mohamat Yusuff, 43, memberitahu mahkamah, Ahmad Zahid menyumbangkan RM5.9 juta kepada Yayasan Al-Falah untuk pembelian dua banglo di Country Heights, Kajang menerusi cek Tetuan Lewis & Co, pemegang amanah Yayasan Akalbudi.
Ahmad Zahid berdepan dengan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.
-- BERNAMA