Bukan merempit, tapi datang bersiar

Tangkap layar klip video yang tular dalam media sosial mendakwa berlakunya kegiatan lumba haram di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, George Town, Pulau Pinang, malam tadi.

GEORGE TOWN—Polis menafikan berlakunya kegiatan lumba haram membabitkan kira-kira 200 penunggang motosikal di beberapa lokasi sekitar Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan Padang Kota Lama di sini seperti yang tular di media sosial hari ini.


Sebaliknya, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata beberapa kumpulan motosikal itu yang datang dari beberapa negeri antaranya Kedah dan Johor berada di George Town untuk bersiar dan bersantai sahaja.


"Berdasarkan risikan dan maklumat mendapati beberapa kumpulan motosikal itu masuk ke kawasan pulau bermula 12 tengah malam tadi.


"Mereka hanya datang ke sini (pulau) untuk bersiar-siar dan bersantai hujung minggu, dari Jambatan Pulau Pinang, mereka bergerak dalam kumpulan ke Padang Kota Lama melalui Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.


Sejak awal pagi Ahad, tular beberapa video di media sosial mengenai beberapa kumpulan motosikal yang memasuki bahagian pulau, negeri ini dipercayai mahu berlumba haram.


Soffian berkata pihak polis telah mengekori pergerakan kumpulan motosikal itu sehingga memasuki ke sebuah stesen minyak di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu kira-kira 1.30 pagi sebelum menahan 23 motosikal bersama penunggangnya iaitu semua lelaki berusia 16 hingga 25 tahun.


Katanya pemeriksaan ke atas mereka, polis menyita sembilan motosikal dan mengeluarkan 48 saman kerana pelbagai kesalahan antaranya mengubah suai ekzos, tidak mempunyai lesen, tiada cukai jalan, tidak mempamerkan plat motosikal serta tidak mempunyai cermin sisi.


"Kumpulan motosikal itu juga didapati mengganggu pengguna jalan raya yang lain kerana menunggang dalam satu kumpulan yang ramai sehingga menghalang lalu lintas," katanya.


Soffian berkata polis akan meneruskan pemantauan dan membanteras kegiatan lumba haram dengan menggunakan pendekatan baharu serta tidak lagi mengejar penunggang motosikal.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post