Budak 12 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi sungai
Operasi SAR budak lelaki berusia 12 tahun yang dikhuatiri lemas sedang dilakukan oleh pasukan bomba di sungai Kampung Tanjong Katong petang tadi. Gambar kredit Bomba |
LAWAS—Seorang budak lelaki dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika mandi-manda bersama rakan-rakannya di Kampung Tanjong Katong, Sundar, di sini petang tadi.
Mangsa Nabil Suhaili, 12, sedang mandi bersama lima rakannya yang lain pada 2.50 petang sebelum dilaporkan hilang dalam kejadian 3.10 petang.
Laporan kehilangan mangsa dibuat seorang penduduk kampung 3.11 petang.
Ketua Zon 7 Limbang Awangku Mohd Hazmin Awang Zainal berkata pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu jam 3.11 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas bergegas ke Kampung Tanjong Katong, Sundar untuk menjalankan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR).
“Kaedah pencarian di permukaan air dijalankan melibatkan radius lima kilometer di sepanjang Sungai Sundar menuju ke hilir,” katanya hari ini.
Operasi SAR turut dibantu penduduk kampung.