Bil elektrik rendah luar biasa, rupa-rupanya…



KUCHING— Bacaan meter elektrik yang luar biasa rendah membongkar kegiatan mencuri elektrik oleh seorang pemilik rumah teres dua tingkat di Jalan Datuk Mohd Musa, di sini.


Jurucakap Sarawak Energy Berhad (SEB) berkata, kegiatan itu diketahui selepas bacaan meter tidak normal semasa pemeriksaan rutin.



Hasil pemeriksaan mendapati pemilik rumah tersebut menggunakan kabel sambung terus yang disembunyikan di dalam dinding di sebalik kotak kawalan pagar automatik yang memintas meter elektrik.


Dianggarkan penggunaan bil elektrik yang direkodkan pemilik rumah adalah kurang 50 peratus setiap bulan berbanding penggunaan sebenar, kata kenyataan itu.


Susulan itu, kabel pasang terus telah dirampas untuk tindakan lanjut. Selain itu laporan polis telah dibuat dan pemilik rumah akan dipanggil untuk memberi keterangan.


SEB memberi amaran hukuman RM100,000 dan atau penjara lima tahun menanti jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik.

Next Post Previous Post