Beri peluang muka baharu, rombak program latihan - MOM
Tan Sri Mohamad Norza Zakaria |
BIRMINGHAM— Program latihan bagi atlet dari sukan boling padang, terjun dan olahraga perlu dirombak semula selepas mereka menampilkan prestasi membimbangkan pada Sukan Komanwel 2022 Birmingham di sini.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berpendapat kebergantungan kepada atlet sedia ada pada temasya sukan empat tahun sekali itu perlu diubah dalam usaha mengangkat muka baharu mewakil negara pada masa akan datang.
“Pasukan terjun yang baru sahaja memenangi dua pingat gangsa di Kejohanan Dunia di Budapest baru-baru ini tidak dapat mengulangi prestasi mereka di Sukan Komanwel 2022 Birmingham.
“Penerjun negara lain yang lebih muda membuktikan program latihan di negara seperti England, Australia dan Kanada telah berjaya melahirkan ramai atlet pelapis berwibawa berbanding Malaysia yang masih mengharapkan muka-muka lama untuk bersaing,” katanya pada sidang media mengenai rumusan prestasi kontinjen negara di sini, hari ini.
Bukan sahaja tidak berjaya menepati sasaran membawa pulang emas, kem terjun menerima tamparan hebat selepas ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong buat pertama kalinya gagal memenangi sebarang pingat dalam penyertaan pada temasya sukan berprestij itu sejak edisi New Delhi 2010.
Mohamad Norza berkata Persatuan Renang Malaysia juga perlu melihat program pembangunan sukan terjun di pelbagai peringkat bagi persediaan menghadapi temasya besar seperti Sukan Olimpik Paris 2024, Sukan Asia 2023 di Hangzhou China serta edisi 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun selain Sukan Komanwel 2026 di Victoria, Australia.
Dalam pada itu, beliau menegaskan penyertaan atlet olahraga di peringkat Sukan Komanwel perlu dikaji semula memandangkan mereka masih tidak dapat mempamerkan prestasi diharapkan semasa bersaing di sini.
“Kita harus akur bahawa prestasi sukan olahraga hanya berlegar di peringkat Sukan SEA dan ini perlu diubah untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat lebih tinggi,” tambahnya.
Katanya, jaguh lompat tinggi negara Nauraj Singh Randhawa tidak menunjukkan kesungguhan mempamerkan prestasi terbaik Birmingham selepas sekadar melepasi 2.05 meter (m) diikuti jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin yang tidak dapat memperbaiki catatan peribadi beliau serta kegagalan Andre Anura Anuar yang gagal membuat lompatan sah dalam lompat kijang lelaki.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata pendekatan latihan di luar negara oleh skuad boling padang selepas mereka berkampung selama sebulan di Birmingham menjelang temasya sukan itu perlu dikaji semula kerana ia mungkin sudah tidak relevan dan perlu mencari formula baharu bagi memastikan mereka kembali meraih emas di Victoria.
“Saya harap skuad boling padang dapat berani beri peluang kepada muka baharu, saya percaya struktur jurulatih mereka masih baik kerana mereka juga yang membawa kejayaan skuad negara di Glasgow 2014 dan Gold Coast 2018,” katanya.
Pada temasya kali ini, skuad boling padang negara yang diletakkan sasaran satu emas menyumbang satu pingat perak dalam acara triples wanita (Nur Ain Nabilah Tarmizi, Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman dan Azlina Arshad) dan satu gangsa daripada Siti Zalina Ahmad bagi acara singles wanita.
Kontinjen negara meraih tujuh emas serta masing-masing lapan perak dan gangsa pada edisi di Birmingham 2022, menamatkan cabaran di tangga kesepuluh secara keseluruhan.
Pencapaian dilakar kontinjen negara itu sekali gus menyamai rekod tujuh emas dicatatkan mereka pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia.
-- BERNAMA