Berapa lama Sarawak sudah menjadi ‘tong sampah’ Persekutuan?
(Dari kiri) Kelvin Yii, Michael Tiang |
KUCHING— Ahli Parlimen Kuching Kelvin Yii membidas tindakan kerajaan Persekutuan yang dianggap menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai ‘tong sampah’, dengan memindahkan pegawai kerajaan yang menghadapi tindakan tatatertib ke negeri itu.
Katanya, tindakan ini adalah satu penghinaan dan kerugian besar kepada kedua-dua negeri ini.
Semalam, Sinar Harian melaporkan, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, sembilan anggota polis yang sebelum ini disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor mengenai pemilikan dadah, baru-baru ini telah ditukarkan ke beberapa balai polis dan bahagian di Sabah dan Sarawak.
Kelvin berkata, tindakan ini turut mencetuskan persoalan yang lebih besar, apakah selama ini kerajaan persekutuan sudah biasa menempatkan pegawai bermasalah ke Sabah dan Sarawak ?
“Saya mahu tahu, berapa kerap perkara ini berlaku, dan sejauh mana masalah ini berlaku? Jika ya, mengapa tiada bantahan oleh Kerajaan Sarawak jika mereka sedar perkara itu.
Adakah ini kini dianggap amalan biasa dan boleh diterima oleh kerajaan?,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kelvin berkata, beliau akan mengemukakan soalan itu di Parlimen dalam sesi Masa Pertanyaan Menteri (MQT) meminta kerajaan telus berhubung jumlah pertukaran penjawat awam ke kedua-dua negeri di atas sebab disiplin.
Beliau menggesa menteri memandang serius perkara ini dan menjawab persoalan tersebut Parlimen.
Dalam pada itu Kelvin berkata, mungkin ada keperluan kerajaan menggunakan pendekatan atau mekanisme baharu dalam menangani isu penjawat awam yang bermasalah.
“Berbanding langkah sekarang dengan memindahkan mereka ke sana sini dan menyerahkan masalah itu kepada negeri atau jabatan lain.
“Ini bukan untuk menghukum penjawat awam kita, tetapi menetapkan standard dan kecekapan perkhidmatan awam yang menjadi tunjang kerajaan. Ini termasuk mempunyai insentif yang lebih baik dan saksama bagi mereka yang berprestasi di bawah merit,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Michael Tiang berkata sembilan anggota polis tersebut perlu digantung tugas serta-merta bukannya dipindahkan ke mana-mana negeri di Malaysia.
Beliau merangkap Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata, Sarawak berhak mendapat pegawai polis yang lebih baik, bukannya pegawai yang sedang dalam siasatan kerana masalah tatatertib.
“Sarawak memang memerlukan lebih ramai anggota polis untuk mencegah jenayah, namun tidak bermakna kerajaan persekutuan harus menempatkan pegawai yang masih dalam siasatan jenayah.
“Kami berhak mendapat pegawai polis yang baik. Jadi, berhenti jadikan Sarawak sebagai tapak pembuangan pegawai yang bermasalah. Sudah jelas mereka masih dalam siasatan, kenapa harus ditempatkan ke Sarawak,” katanya.