Belum ada bukti minyak masak terapung di perairan Indonesia dari Malaysia

Gambar tangkap layar penemuan ribuan paket minyak masak  terapung berhampiran Pulau Jawa, Indonesia dan menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak.

KUALA LUMPUR-- Belum ada bukti atau maklumat minyak masak paket yang ditemukan terapung di perairan Indonesia yang tular di media sosial dibawa dari Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata sehubungan itu orang ramai diminta tidak membuat andaian sehingga ada kenyataan sahih dari pihak berkaitan mengenai berita berkenaan.


“Kita telah cuba dapatkan pengesahan dari media yang mengeluarkan berita itu, tetapi tidak ada satu pihak pun yang berikan butir-butir lanjut mengenai gambar-gambar yang ditularkan di akaun media sosial tertentu. Bagaimanapun maklumat awal yang kita terima minyak tersebut keluaran Indonesia sendiri,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Bangunan Parlimen di sini hari ini.


Annuar yang juga pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berkata beliau telah meminta pihak Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi membuat susulan mengenai perkara itu.


Sejak beberapa hari lepas, tular di media sosial mengenai penemuan ribuan paket minyak masak  terapung berhampiran Pulau Jawa, Indonesia dan menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak.


Sementara itu, Annuar berkata pasukan itu telah berbincang dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan meminta badan itu membuat kajian mekanisme harga minyak masak untuk pasaran negara ini.


Katanya kajian itu melibatkan sama ada sistem satu harga minyak untuk kegunaan domestik dan kegunaan eksport dikekalkan atau kebolehlaksanaan menyediakan dua tingkat harga minyak masak iaitu harga berbeza bagi kegunaan domestik dan eksport.


“Jawatankuasa dimaklumkan hanya 5.6 peratus bekalan minyak dikeluarkan negara adalah untuk pasaran domestik dan 60,000 tan metrik daripadanya adalah disubsidikan untuk minyak paket,” katanya.


Bagaimanapun, katanya semua keputusan akan mempertimbangkan impak terhadap pengguna dan pihak berkaitan.


“MPOB akan diberikan masa yang cukup untuk mengkaji mekanisme berkenaan,” katanya.

-- BERNAMA 

Next Post Previous Post