Bayi antara 5 mangsa terselamat dalam kebakaran
LAWAS— Lima penghuni termasuk seorang bayi perempuan berusia 20 bulan nyaris maut dalam kebakaran di Kampung Banting Lawas pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira 7 pagi tadi, mangsa berjaya menyelamatkan diri sebelum kebakaran itu merebak dan meranapkan rumah dua tingkat itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas Azman Ibrahim, berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian yang jauhnya empat kilometer sejurus menerima panggilan kecemasan pada 7.22 pagi.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, terdapat 11 penghuni membabitkan lima keluarga mendiami rumah tersebut, enam penghuni tidak berada di rumah ketika kejadian.
Mujur kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kebakaran hanya memusnahkan harta benda,”katanya ketika dihubungi Borneo Network hari ini.
Azman menambah, operasi pemadaman bermula pada 7.27 pagi dan kebakaran berjaya dikawal pada 8.16 pagi.