Balachandran puji aksi cemerlang Sarawak United FC
Gambar kredit Sarawak United FC Official |
GEORGE TOWN -- Ketua Jurulatih Sarawak United FC S. Balachandran bangga dengan persembahan yang ditampilkan barisan pemainnya yang beraksi cemerlang di gelanggang lawan untuk mengutip tiga mata penuh.
Katanya pujian harus diberikan kepada semua pemain yang sentiasa berusaha untuk mengutip tiga mata penuh dalam pelawanan menentang tuan rumah Penang FC.
"Kredit harus diberikan kepada semua pemain Sarawak United kerana mereka rajin dan sangat cepat dalam menyesuaikan diri dengan latihan yang baharu.
Dalam aksi malam ini, mereka begitu cepat dalam bertukar dari pertahanan kepada serangan balas," katanya kepada pemberita selepas pelawanan di Stadium Bandaraya malam tadi.
Balachandran yang mengakui beliau masih baharu bersama pasukan Sarawak United berkata dalam latihan sebelum ini, beliau sering menekankan pertahanan kerana bertemu dengan pasukan-pasukan yang kuat seperti Kedah Darul Aman FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Namun menurut beliau, dalam persiapan menghadapi Penang, latihan adalah lebih kepada serangan dan mengingatkan pemain agar lebih banyak melakukan serangan.
"Standard Penang adalah lebih kurang sama dengan kami...jadi saya telah pesan kepada pemain untuk lebihkan serangan untuk mencipta gol bagi memastikan kemenangan walaupun bermain di gelanggang lawan," katanya.
Semalam, Sarawak United mengalahkan Penang FC 3-2 dengan gol Sarawak dihasilkan oleh Nor Azizi Ramlee, Uche Agba dan Gonzalo Manuel Soto manakala kedua-dua gol Penang dijaringkan oleh Lucas Espindola Da Silva.
Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih Manzoor Azwira Abd Wahid berkata pasukannya akan terus bermain dengan bersungguh-sungguh untuk mengutip sebanyak mata yang mungkin.
"Walaupun kita kini menghuni di tangga yang tercorot, namun dalam bola sepak ini tiada apa yang mustahil dan saya yakin pemain-pemain akan berusaha untuk mengubah nasib pasukan," katanya.
Beliau berkata pihaknya akan membuat analisis pemainan pasukan untuk mengenal pasti kelemahan pasukan yang perlu diperbaiki.
Dalam perlawanan pada 9 Ogos, Sarawak United akan bertandang ke Stadium Likas untuk menentang Sabah FC manakala Penang FC akan bertemu Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman.
-- BERNAMA