Anggota bomba kurang terlibat rasuah
Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid. Gambar arkib kredit JBPM Sarawak |
MELAKA— Trend penurunan kes melibatkan integriti dan tatatertib dalam kalangan pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan terus dipantau dan dinilai sepanjang masa.
Ketua pengarahnya Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata ia penting untuk memastikan penurunan kes sehingga 50 peratus yang dicatat setakat ini, terus konsisten bagi mengekang gejala negatif dalam badan beruniform tersebut.
"Kami tengok sejak diadakan program pemerkasaan integriti pada 2013 dan polisi sifar toleransi ke atas pegawai tiada integriti, hasilnya sudah mula nampak kerana banyak kesedaran yang timbul.
"Kemungkinan yang selama ini mereka tidak mengetahui nilai-nilai tertentu yang dilarang, kini sudah sedar manakala kes-kes melibatkan rasuah, penyelewengan, ketirisan dan kebocoran, ia juga semakin menurun berbanding sebelum ini," katanya.
Beliau berkata kepada media selepas merasmikan Majlis Penutup Program Bicara Governans, Integriti dan Antirasuah Siri 1 2022 Peringkat Zon Selatan yang dianjurkan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Institut Integriti Malaysia, di sini hari ini.
Katanya untuk rekod, 50 anggota dan pegawai telah dibuang kerja antara tahun 2019 dan Jun 2022 atas pelbagai kesalahan, dengan hanya satu kes dicatatkan setakat ini bagi tahun 2022 berbanding 12 kes pada 2021.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 26 kes adalah bagi kesalahan tidak hadir bertugas, penyalahgunaan dadah (20 kes) dan masing-masing satu kes melibatkan ketum, kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), sabitan mahkamah dan pemalsuan tandatangan," katanya.
Tambahnya, JBPM juga mengenal pasti 16 jenis kesalahan utama yang sering melibatkan anggota dan pegawainya dengan tidak hadir bertugas, penyalahgunaan dadah dan lain-lain kesalahan tatatertib merupakan kesalahan yang mencatat kes tertinggi.
"Rekod dari 2019 hingga Jun 2022 mencatatkan 59 kes kesalahan tidak hadir bertugas, penyalahgunaan dadah (25 kes), lain-lain kesalahan tatatertib (40 kes), sabitan mahkamah/jenayah (lapan kes) serta tujuh kes bagi salah guna kuasa.
"Jumlah keseluruhan yang direkodkan sepanjang tempoh tersebut bagi semua kesalahan adalah 176 kes, dengan 22 kes setakat Jun 2022 berbanding 63 kes pada 2021,” katanya.
Katanya tindakan yang tegas termasuk punitif akan diambil memandangkan JBPM adalah sebuah badan kecemasan dan justeru jika tiada nilai baik dan integriti sudah pasti tugasan tidak dapat dilakukan dengan tepat dan cekap, sekali gus menyebabkan kerugian pada aset serta kematian.
"Malah JBPM juga telah menerima pensijilan ISO 37001 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) pada 2021 khususnya bagi unit-unit yang sensitif serta mempunyai risiko integriti yang tinggi. Dalam masa yang sama usaha memperkasakan integriti ini akan diperluaskan dan dikembangkan di peringkat negeri dan zon bagi nilai murni dalam perkhidmatan kecemasan diperkukuhkan," katanya.
-- BERNAMA