Abang Jo lancar Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang 9.0
Abang Johari umum lima inisiatif di bawah Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang 9.0 hari ini. |
KUCHING— Sarawak memperkenalkan satu inisiatif baharu di bawah Pakej Bantuan Sarawakku Sayang (BKSS) 9.0 iaitu Syarat Bagi Perubahan Harga (VOP) 2.0 bagi memastikan projek pembangunan di negeri ini dapat disiapkan tepat pada masanya.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari berkata, VOP ini terpakai untuk kontrak-kontrak yang sedang dilaksanakan dengan Surat Setuju Terima (LOA) dikeluarkan antara 1 Januari hingga 31 Disember 2021, melibatkan perbelanjaan negeri dianggarkan sebanyak RM700 juta.
“Kerajaan menambah 15 bahan pembinaan yang layak untuk VOP antaranya cerucuk persegi R.C konkrit, keluli (selain bar tetulang), kelengkapan sanitasi, bata dan dinding kaca, batu hancur, siling, cerucuk persegi, cat, pasir, bahan paip, jubin, kayu termasuk papan lapis, bahan besi dan bumbung.
Manakala 10 lagi bahan binaan untuk kerja-kerja kejuruteraan awam iaitu termasuk cerucuk persegi R.C, simen, keluli, bitumen, paip HDPE, bar pengukuhan T40 dan diesel,” katanya semasa sidang media pengumuman BKSS 9.0 di sini hari ini.
Beliau menambah, langkah ini bagi meringankan bebanan pemain industri binaan yang terjejas akibat kenaikan kos bahan binaan pada masa kini.
“Kerajaan turut meluluskan Lanjutan Tempoh Masa (EOT) kepada pemaju sehingga maksimum enam bulan tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh agensi masing-masing,” katanya.
Perlaksanaan BKSS 9.0 dilaksanakan dalam tempoh enam bulan bermula Julai hingga Disember tahun ini dengan perbelanjaan sebanyak RM1 bilion melibatkan lima inisiatif.
Abang Johari berkata, empat lagi inisiatif ialah pemberian diskaun bil elektrik, bil air, cukai pintu dan sewa pasar da gerai di bawah selian Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Kerajaan bersetuju meneruskan pemberian diskaun 5 peratus hingga 25 peratus ke atas bil elektrik bulan untuk pengguna domestik, komesial dan industri termasuklah pengusaha dan peruncit makanan dengan perbelanjaan RM201.76 yang memanfaatkan 685,000 pengguna.
Selain itu diskaun 10 peratus hingga 25 peratus ke atas bil air bulanan untuk pengguna domestik, komersial dan industri melibatkan perbelanjaan RM35.34 juta dan memanfaatkan lebih 685,000 pengguna,” katanya.
Abang Johari berkata, diskaun sebanyak 25 peratus untuk tafsiran cukai pintu tahunan melebihi RM400 manakala 30 peratus untuk RM400 dan ke bawah bagi premis kediaman, komersial, industri dan premis pegangan khas.
“Inisiatif ini melibatkan perbelanjaan RM54 juta dan memanfaatkan lebih 500,000 premis di bawah PBT sekaligus meringankan beban rakyat dan peniaga di Sarawak.
Katanya, bagi membantu golongan peniaga dan penjaja yang terjejas akibat keadaa ekonomi tidak menentu, kerajaan turut memberikan diskaun 50 peratus sewa pasar dan gerai seliaan PBT untuk peniaga dan penjaja.
“Diskaun ini melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.73 juta dan dijangka memanfaatkan lebih 10,000 penjaja yang berdaftar yang menyewa pasar dan gerai di bawah PBT dan badan-badan berkanun,” katanya.
Terdahulu, Abang Johari berkata, sekarang adalah masa yang sangat mencabar berikutan beban kos sara hidup yang semakin tinggi.
“Saya mendengar keluhan rakyat berkenaan harga barang yang semakin meningkat seperti harga ayam dan telur, kenaikan harga minyak masak dan sebagainya.
“Setakat Jun 2022, inflasi Malaysia meningkat 3.4 peratus berbanding pada bulan yang sama tahun sebelumnya, manakala kadar inflasi Sarawak meningkat 3.2 peratus berbanding pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Sebagai kerajaan yang mendengar dan prihatin terhadap keluhan rakyat, Kerajaan Sarawak telah mengambil keputusan untuk menyambung pemberian bantuan bagi meringankan beban rakyat Sarawak yang terkesan akibat kenaikan kos sara hidup, terutama yang berpendapatan rendah,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan akan terus mencari jalan dan melaksanakan langkah terbaik untuk membantu rakyat agar memberi manfaat kepada semua golongan.
“Kita sekarang dalam fasa pemulihan ekonomi. Justeru itu, saya berharap agar langkah-langkah dalam BKSS 9.0 yang berjumlah hampir RM1 billion ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat Sarawak,” katanya.