1,010 guru baharu kelahiran Sarawak ditempatkan di negeri asal

Gambar hiasan kredit SK Lusong Laku, Belaga

KUALA LUMPUR— Seramai 1,010 guru baharu lantikan tetap gred DG41 berasal dari Sarawak ditempatkan di negeri itu bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.


Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin berkata berikutan masih terdapat kekurangan guru dengan keperluan opsyen di Sarawak, kementerian menempatkan seramai 1,603 guru berasal dari Semenanjung ke sekolah rendah dan menengah di negeri berkenaan bagi tempoh sama.


Jelasnya, penempatan guru baharu adalah berdasarkan kekosongan perjawatan dan keperluan opsyen dalam sesebuah negeri.


“Sehingga akhir Julai 2022, sebanyak 2,815 kekosongan guru bagi sekolah rendah dan menengah di Sarawak,” katanya menjawab soalan Anyi Ngau (GPS-Baram) berhubung dasar pengisian 90 peratus jawatan guru Sarawak oleh anak tempatan serta jumlah terkini kekosongan guru di negeri itu pada sesi soal jawab.


-- BERNAMA 

Next Post Previous Post