Tiada petunjuk ditemui, operasi SAR warga emas Seranton ditangguh
Operasi SAR warga emas Seranton ditangguhkan selepas enam hari pencarian. Gambar kredit Bomba Limbang |
LIMBANG—Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang warga emas, Seranton Kuyan,84, yang dilaporkan hilang Sabtu lalu di kawasan Bukit Brayong ditangguhkan setelah enam hari tidak ditemui.
Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang Awangku Mohd Hazmin Awang Zainal, berkata penangguhan operasi diputuskan Ketua Polis Daerah Limbang tengah hari ini selepas tiada petunjuk baharu ditemui.
“Kita tidak menolak kemungkinan mangsa yang dilaporkan hilang Sabtu lalu berada di lokasi lain.
Kita sudah berusaha mencari mangsa di kawasan sejauh 10 kilometer namun gagal menemuinya sehingga hari ini,” katanya kepada Borneo Network hari ini.
Mohd Hazmin berkata, hanya baju dan bakul mangsa ditemui anggotanya pada hari ketiga operasi SAR dilancar.
Sementara itu, operasi SAR hari ketujuh bermula 9 pagi tadi disertai 37 anggota termasuk bomba, polis, Pasukan Gerakan Am, Angkatan Pertahanan Awam dan orang awam.
Mohd Hazmin turut meminta orang ramaii menyalurkan maklumat berhubung kehilangan mangsa.
Seranton dikatakan keluar rumah pada pagi Sabtu dan tidak pulang ke rumah sehingga kini.