Sindiket ‘baru berjinak’ seludup diesel bersubsidi tumpas

Gambar kredit Polis Johor

JOHOR BAHRU—Polis menahan 19 lelaki termasuk lapan pendatang tanpa izin yang dipercayai terlibat dengan sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi, dalam serbuan di sebuah premis di Sungai Tiram di sini, Ahad lepas. 


Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua mereka yang berumur 26 hingga 58 tahun itu ditahan pada pukul 1 pagi, dan polis turut merampas 122,000 liter diesel dalam serbuan itu.


Beliau berkata modus operandi sindiket yang beroperasi sejak sebulan lepas itu adalah membeli diesel dengan harga RM2.15 seliter dan menjual semula dengan harga RM3.50 seliter untuk pasaran antarabangsa, selain memilih lokasi tersembunyi bagi kegiatan berkenaan. 


“Kita dapati sindiket ini menjual diesel dengan harga lebih tinggi di pasaran gelap. Premis ini yang berdekatan dengan sebuah jeti pula dijadikan tempat transit penyeludupan diesel,” katanya pada sidang media di sini hari ini. 


Katanya turut dirampas dalam serbuan itu adalah tiga lori tangki, satu kapal tangki, empat hos minyak serta diesel bernilai RM390,400 yang menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM10.77 juta, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63.


Beliau berkata enam individu yang ditahan mempunyai rekod jenayah dan dadah, manakala kesemua warga asing tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.


Terdahulu dalam sidang media di KOTA TINGGI, Kamarul Zaman berkata mayat seorang warga emas berusia 74 tahun ditemukan di sebuah kawasan berhampiran Lebuhraya Senai-Desaru oleh orang awam pada pukul 8 pagi tadi.


“Mayat ditemui di atas jalan bertanah merah di tepi lebuh raya ini, hasil pemeriksaan mangsa didapati meninggal dunia tidak sampai tempoh 48 jam. Jika dilihat pada kecederaan itu ada sedikit calar mungkin (sebab) terjatuh dan sebagainya.


Beliau berkata mayat dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post