Setelah 6 tahun 7 bulan, Hospital Sri Aman II akhirnya siap
SRI AMAN-- Penantian lebih 100,000 penduduk di bahagian ini untuk menikmati kemudahan kesihatan yang lebih baik dan selesa akhirnya tercapai apabila Hospital Sri Aman II kini sudah siap sepenuhnya.
Ini kerana hospital itu telah sempurna diserahkan daripada Pasukan Projek Khas 2, JKR Malaysia (PPK2) kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia semalam.
Setelah lapan kali lanjutan tempoh masa (EOT), projek Hospital Sri Aman II dengan nilai kontrak RM182. 2 juta itu akhirnya siap dalam tempoh 1,221 hari.
Jumlah keseluruhan pelaksanaan projek ini mengambil masa selama 6 tahun 7 bulan dengan tarikh pemilikan tapak pada 26 Oktober 2015 yang lalu.
Hospital ini mampu menempatkan 108 buah katil, 14 unit hemodialisis, klinik pakar dan beberapa komponen utama yang lain.
Hospital baru ini dijangka akan dimanfaatkan oleh penduduk di Bahagian Sri Aman yang mempunyai populasi seramai 106,500 orang.
Pada Mei lalu, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) memaklumkan Hospital Sri Aman II dijangka mula beroperasi pada Ogos 2022.
Beliau memberitahu pemeriksaan akhir, ujian dan pentauliahan hospital itu kini sedang dijalankan.
“Secara fizikal, hospital baharu tersebut sudah siap sepenuhnya. Setakat ini kerja-kerja pemeriksan akhir, percubaan dan pelaksanaan sedang dilaksanakan. Ia dijangka beroperasi sepenuhnya pada Ogos depan,” katanya.
Tiang memberitahu, Hospital Sri Aman yang lama pula telah dinaik taraf menjadi Hospital Pakar Kecil sejak 2011.
“Setakat ini, Hospital Sri Aman mempunyai empat kepakaran berbeza iaitu, Perubatan Dalaman, Pediatrik, Obstetrik & Ginekologi dan Psikiatri.
“Apabila Hospital Sri Aman II beroperasi sepenuhnya, tiga kepakaran tambahan akan dimasukkan iaitu, Pembedahan Am, Ortopedik dan Anestesiologi,” ujarnya.