Seorang ibu kesal, dakwa dapat layanan 'doktor biadap' di HUS

Gambar hiasan 

KUCHING—Seorang ibu mendakwa menerima layanan 'kasar' daripada seorang doktor yang bertugas di Hospital Umum Sarawak (HUS) semasa membawa anaknya yang sakit untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan di situ pada Rabu.


Berikutan kejadian itu, dia menerusi akaun Facebooknya, Ezza Fariza Osman meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya terhadap layanan yang diterimanya.


 

Jelasnya dalam hantara itu, semasa kejadian dia bersama suami membawa anaknya yang dikatakan mengalami batuk dan selesema yang berlarutan selain masalah pernafasan yang terganggu.


"Semalam, saya membawa anak ke hospital (HUS) dan jumpa seorang doktor di situ. Belum selesai saya bercakap (menerangkan keadaan anak), dia (doktor) terus mencelah dengan mengatakan sudah datang semalam (Selasa) hari ini datang lagi.


"Saya kemudian memberitahu saya belum habis bercakap, dengarkan dulu apa yang saya hendak katakan. Saya datang sebab (anak) masih batuk, belum habis saya cakap dia (doktor) mencelah semula dan memberitahu kami di sini tidak memberi ubat batuk kepada kanak-kanak umur dua tahun dan ke bawah.


"Kemudian saya mencelah lagi saya belum habis bercakap (menerangkan keadaan anak) dan bukan saya datang untuk meminta ubat batuk untuk anak. Saya kemudian menunjukkan kertas biru yang diberi oleh doktor sebelum ini.


"Sebelum ini (semalam) doktor (doktor lain) sudah buat imbasan x-ray dan memaklumkan anak saya ada terkena jangkitan sebelum dibenarkan balik dan diberi ubat demam dan doktor terbabit memesan untuk datang semula ke hospital jika anak masih batuk dan sukar bernafas," jelasnya sambil memberitahu dia bertutur dengan nada yang lembut ketika bercakap dengan doktor berkenaan.


Namun, tiba-tiba katanya, doktor berkenaan terus mengeluarkan kata-kata "jika marah jangan datang ke sini (HUS), balik sahaja, saya malas mahu melayan, kamu keluar saja, saya tidak mahu memeriksa anak anda, kamu tunggu doktor lain saja yang akan periksa anak anda".


Selepas itu, ibu berkenaan memberitahu, doktor berkenaan terus meninggalkan dia dan anak mereka begitu sahaja.


Bagaimanapun, katanya, doktor berkenaan datang semula dan menyuruh dia dan anaknya keluar segera dari situ.


"Suami saya sempat meminta maaf dan meminta doktor tersebut memeriksa anak kami tetapi dia tetap enggan dan menghalau kamu keluar," katanya dengan kesal.


Berikutan kejadian itu, ibu tersebut meluahkan rasa kecewa dan mahu membuat aduan berhubung kejadian tersebut kepada pihak pengurusan HUS.


Selepas itu, dia dan suami membawa anak mereka ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan anaknya.


Di Facebook ibu berkenaan, ramai netizen menyokong ibu kanak-kanak tersebut untuk melaporkan kejadian itu kepada pihak pengurusan HUS dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Mereka turut berharap doktor yang 'biadap' itu diambil tindakan sewajarnya bagi memastikan rakyat yang mahu mendapatkan rawatan di HUS mendapat layanan yang sepatutnya.

Next Post Previous Post